Mitsubishi Motors pindah ke gudang baharu di Shah Alam | DagangNews Skip to main content

Mitsubishi Motors pindah ke gudang baharu di Shah Alam

Mitsubishi Motors Malaysia (MMM)

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 21 Sept. - Pengedar rasmi kenderaan Mitsubishi Motors di Malaysia, Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) mengumumkan syarikatnya berpindah ke gudang alat ganti baharu yang bertempat di Shah Alam, Selangor.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tomoyuki Shinnishi berkata, keputusan itu adalah sebahagian daripada perancangan pegembangan pihaknya untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

"Penempatan semula gudang kami ini adalah sejajar dengan pertumbuhan perniagaan Mitsubishi Motors di Malaysia.

"Ruang alat ganti baharu ditempatkan di lokasi strategik dan tidak dihimpit dengan kesesakan jalan raya di samping akses mudah ke lebuh raya Persekutuan dan KESAS," jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Gudang baharu itu memiliki kapasiti penyimpanan hingga 40,000 kaki persegi.

Pengembangan tersebut akan menyaksikan peningkatan dalam operasi gudang termasuk menggabungkan semua pegangan di bawah satu bumbung.

Mitsubishi Motors Malaysia (MMM)

Langkah tersebut akan mempercepat proses penghantaran alat ganti yang diperlukan oleh semua rakan niaga yang sah MMM termasuk 52 peniaga di seluruh negara.

"Dengan kelebihan akses kepada lebuh raya tersebut, kami akan dapat mempercepat penghantaran alat ganti kepada rakan perniagaan kami.

"Kami sentiasa berusaha untuk meningkatkan pengalaman selepas jualan dengan mengurangkan kos dan meningkatkan kecekapan kerja pihak kami," jelasnya lagi.

Mitsubishi Motors Malaysia tersenarai pada kedudukan pertama dalam J.D. Power 2019 Malaysia Customer Service Index (CSI) Mass Market Study di samping kedudukan kedua teratas dalam 2019 J.D. Power Sales Satisfaction Index (SSI) Study. - DagangNews.com