KUALA LUMPUR 9 Nov - Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) menyumbang tiga buah trak pikap Triton 4x4 kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) untuk digunakan sebagai sokongan logistik seperti makanan, bekalan perubatan, dan bantuan kemanusiaan kepada golongan yang memerlukan semasa bencana banjir.
MRCS menjangkakan Monsun Timur Laut yang akan datang di Malaysia meramalkan hujan lebat dari November 2022 hingga Mac 2023.
Selain itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) juga memaklumkan MRCS bahawa walaupun banjir monsun berlaku setiap tahun di kawasan berisiko yang dikenalpasti, bahagian lain di Malaysia juga boleh menghadapi banjir kilat, terutamanya di bandar-bandar yang mengalami perbandaran pesat.
Ketua Pegawai Eksekutif MMM, Shinya Ikeda berkata, selaras dengan aktiviti sumbangan sosial, syarikat itu berusaha sedaya upaya untuk menyediakan pelbagai sokongan sebagai tindak balas kepada bencana atau situasi kecemasan.
"Di peringkat tempatan, kami berbesar hati untuk bekerjasama dengan PBSM, sebuah NGO yang menumpukan masanya untuk perkhidmatan kemanusiaan.
"Kami yakin bahawa Triton akan membantu PBSM untuk menangani keadaan jalan yang paling teruk akibat hujan lebat seperti jalan yang sangat licin, bentuk muka bumi yang tidak rata dan jalan ditenggelami air yang kesemuanya Triton mampu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
PBSM telah terlibat dalam tindak balas bencana selama lebih daripada enam dekad. Peranannya adalah berdasarkan garis panduan di bawah Majlis Keselamatan Negara sebagai agensi peneraju pengurusan bencana dan keselamatan negara di Malaysia.
Perkhidmatan yang ditawarkan PBSM termasuk bantuan awal dalam Kesiapsiagaan Bencana, Bantuan Bencana semasa dan selepas tragedi, serta Pemulihan Bencana. - DagangNews.com