MK Land jalin kerjasama bina lebih banyak rumah mampu milik di Perak | DagangNews Skip to main content

MK Land jalin kerjasama bina lebih banyak rumah mampu milik di Perak

Sebahagian daripada pembeli yang hadir untuk memohon skim Rumah PerakKu II, Fasa 1B - Melur.
oleh ZAKI SALLEH

IPOH 10 Nov - Sebanyak 117 unit rumah teres dua tingkat kos sederhana Rumah PerakKu II, Fasa 1B - Melur yang terletak di Taman Raia Perdana, Simpang Pulai di sini ditawarkan kepada pembeli yang layak.

 

Kediaman berharga RM140,000 itu merupakan inisiatif swasta-awam bagi memberi lebih banyak peluang untuk rakyat memiliki rumah sendiri.

 

Rumah yang mempunyai tiga bilik tidur dan dua bilik air itu berkeluasan kira-kira 92 meter persegi.

 

Projek tersebut dibangunkan Naluri Majujaya Sdn. Bhd, sebuah syarikat usahasama antara pemaju tersohor, MK Land dan Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc).

 

 

Datuk Faris Yahaya
                 Datuk Faris Yahaya

 

 

Ketua Pegawai Eksekutif MK Land Holdings Berhad, Datuk Faris Yahaya berkata, sebanyak 56 unit Rumah PerakKu II yang dilancarkan baru-baru ini habis dijual.

 

Katanya, terdapat tiga jenis kediaman bagi Rumah PerakKu kos rendah, sederhana dan mampu milik yang berharga RM70,000, RM90,000 dan RM140,000.

 

 

MK Land
Nolee (dua dari kanan) dan Felina (dua dari kiri) melihat model rumah Rumah PerakKu II, Fasa 1B - Melur yang dibangunkan MK Land bersama MB Inc.

 

 

"Rumah ini ditawarkan pada golongan B40 dengan gaji sekitar RM1,776 hingga RM2,554 sebulan untuk layak memohon membeli rumah ini.

 

"Tempoh pembiayaan maksimum selama 35 tahun dan anggaran kadar faedah pinjaman sebanyak 3.8 peratus.

 

"Jadi anggaran bayaran bulanan adalah antara RM388 sehingga RM777," katanya ketika dihubungi DagangNews.com.

 

Menurut Faris, pelancaran projek kediaman tersebut telah disempurnakan pada 31 Oktober lalu bersama majlis penyerahan kunci 137 unit Rumah PerakKu I - Kenanga.

 

Kata Faris, MK Land berjaya menyiapkan projek rumah teres kos rendah tersebut mengikut jadual baharu yang ditetapkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

 

 

MK Land
Nolee dan Ferlina (kiri) semasa menyerahkan kunci kepada salah seorang pembeli Rumah PerakKu 1 Kenanga baru-baru ini.

 

 

"MK Land dan MB Inc akan bekerjasama membangunkan projek dan kawasan sekitar Simpang Pulai sebagai pusat pembangunan baharu bandar raya Ipoh.

 

"Kami akan terus melaksanakan projek-projek rumah mampu milik yang berkualiti seperti ini melalui usahasama dengan kerajaan negeri Perak," ujarnya.

 

Terdahulu, majlis pelancaran kediaman itu disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi.

 

Turut hadir Pengerusi Eksekutif MK Land Holdings Berhad, Felina Mustapha Kamal.  - DagangNews.com