MMC, airasia ride tawar diskaun perjalanan, saringan jantung secara percuma hingga 31 Oktober 2022 | DagangNews Skip to main content

MMC, airasia ride tawar diskaun perjalanan, saringan jantung secara percuma hingga 31 Oktober 2022

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 18 Okt - Pusat Perubatan Mahkota (MMC) mengumumkan kerjasama julung kalinya dengan airasia ride (AAR) untuk menawarkan diskaun untuk perjalanan lapangan terbang ke MMC.

 

Pengguna sedia ada atau baharu pula boleh menggunakan kod promo MMCAIRPORT untuk mendapatkan diskaun RM10 untuk perjalanan dengan menggunakan perkhidmatan e-hailing AAR dari KLIA/KLIA2 ke MMC dan begitu juga untuk perjalanan sebaliknya.

 

Selain itu, pengguna baharu AAR layak menikmati diskaun RM3 ke MMC dari mana-mana lokasi di Melaka dengan menggunakan kod promo MMCRIDE. 

 

Kerjasama ini juga menawarkan saringan jantung secara percuma dari 29 September hingga 31 Oktober 2022, kepada 30 pemandu AAR di MMC. 

 

Tambahan pula, MMC memberikan saringan darah percuma bernilai RM300 kepada 100 pemandu pertama AAR yang berpangkat Kapten, manakala 100 pemandu ‘First Officer’ dan Kadet AAR boleh membeli profil darah asas (termasuk Saringan Diabetes, Ujian Fungsi Hati, Kiraan Darah Penuh, dll.) pada harga diskaun RM99. 

 

Sebanyak 100 pekerja pertama AAR turut dapat menikmati rebat tunai sebanyak RM200 untuk pakej saringan kesihatan Wellness atau Premier.

 

Ketua Pegawai Eksekutif MMC, Stanley Lam berkata, visi mereka adalah untuk menjadi hospital rujukan bereputasi tinggi di Asia Tenggara. 

 

 

mmc
Stanley Lam (tiga, kiri) dan Lim Chiew Shan (tiga, kanan) menandatangani memorandum persefahaman (Mou) antara MMC dan airasia ride.

 

 

Malah katanya, kerjasama dengan AAR akan mengukuhkan lagi matlamat mereka untuk memastikan pesakit antarabangsa disokong sepanjang perjalanan mereka untuk mendapatkan penjagaan kesihatan. 

 

"Kami juga berharap pakej pemeriksaan kesihatan yang ditawarkan kepada pemandu AAR dan kakitangan AirAsia akan membantu meningkatkan kesedaran mereka dalam aspek kesihatan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Serantau airasia ride, Lim Chiew Shan pula berkata, pihaknya berbesar hati untuk mengumumkan kerjasama dengan MMC bagi menyediakan manfaat kesihatan kepada pemandu e-hailing. 

 

 

mmc

 

 

"Sebagai pembekal e-hailing, pemandu kami merupakan sebahagian anggota yang amat penting di dalam operasi kami. Kami sentiasa mengutamakan kesihatan dan kesejahteraan para pemandu kerana kami percaya mereka akan memberikan kualiti yang terbaik dan perkhidmatan paling selamat kepada pelanggan kami, jika pemandu kami sihat secara fizikal dan mental.

 

“Kami amat bersyukur kepada MMC kerana menawarkan manfaat kesihatan ini kepada pemandu AAR dan kakitangan AirAsia. Kami berharap agar pemandu mengambil peluang ini untuk menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala untuk mengekalkan kondisi yang terbaik di atas jalan raya," katanya.

 

Sebagai salah satu hospital pelancongan perubatan yang terunggul di Malaysia, MMC mempunyai kira-kira 95,000 pesakit antarabangsa setiap tahun dan angka ini dijangkakan meningkat. 

 

MMC baru-baru ini telah dianugerahkan Anugerah GlobalHealth Asia-Pacific - Hospital Pelancongan Perubatan Tahun 2022 di Asia Pasifik. - DagangNews.com