MMHE berpeluang untuk raih projek baharu bernilai RM1 bilion pada tahun 2022 | DagangNews Skip to main content

MMHE berpeluang untuk raih projek baharu bernilai RM1 bilion pada tahun 2022

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Jan - Maybank Investment Banking Group (Maybank IBG) menjangkakan Malaysia Marine Heavy Engineering (MMHE) memiliki peluang realistik untuk mendapatkan projek bernilai RM1 bilion baharu bagi tahun kewangan 2022 berdasarkan kepada tender yang terdapat dalam perancangan.

 

Penganalisis Maybank IBG, Thong Jung Liaw memberi bayangan bahawa kebanyakan projek baharu MMHE akan diumumkan pada setengah tahun kedua (2H22) dan atas dasar itu mereka dijangka memperbaiki pendapatan mereka pada tahun ini.

 

"Pendapatan mereka pada 2021 gagal mencapai sasaran namun MMHE optimis untuk memperbaiki keadaan itu pada 2022, namun memerlukan keuntungan kasar sekitar RM100 juta atau RM80 juta setahun untuk menampung kos operasi mereka.

 

"Penambahbaikan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) di dalam operasi MMHE termasuk agenda 'E' atau pengurangan pelepasan karbon dalam operasi mereka selain kerangka kerja mampan akan memberi kelebihan pada masa akan datang," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Jung Liaw berkata, lawatan yang diadakan di Pasir Gudang baru-baru ini menyaksikan operasi kejuruteraan berat mereka berada dalam keadaan baik meskipun tidak serancak sebelum penularan COVID-19 (2019) namun ia bergerak secara progresif walaupun pernah melalui pelbagai fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

 

Operasi pembaikan dan penukaran kejuruteraan marin mereka juga berlangsung dengan baik dalam usaha memberi pulangan tunai positif kepada syarikat meskipun berdepan pelbagai cabaran besar.

 

"Bagaimanapun operasi di sana berdepan pelbagai cabaran termasuk saingan daripada Singapura yang menawarkan harga diskaun kepada kerja-kerja pembaikan kapal selain sekatan perjalanan antarabangsa melibatkan jurutera dan penasihat mereka," katanya.

 

Firma itu juga mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham-saham MMHE dengan harga sasaran sesaham (TP) RM0.85 dan kekal postif dengan aktiviti fabrikasi luar pesisir pantai dengan projek tertunggak yang dijangka mencecah RM1.2 bilion.

 

Pada masa sama, MMHE juga memberikan penekanan kepada projek baharu dalam bidang kejuruteraan berat dan perkhidmatan marin, menyiapkan projek mengikut masa, bajet dan jadual, penambah baikan kos pengursan dan sasaran keuntungan pada tahun ini. - DagangNews.com