KUALA LUMPUR 4 Jun - Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Bhd (MMHE) mengumumkan telah memperoleh subkontrak untuk membina platform arus terus voltan tinggi (HVDC) pencawang luar pesisir (OSS) di Belanda yang dianggarkan bernilai RM1.5 bilion.
Menurut makluman MMHE di Bursa Malaysia hari ini, subkontrak untuk platform OSS HVDC itu diperoleh daripada Petrofac International (UAE) LLC (Petrofac).
Skop subkontrak, yang dianugerahkan kepada anak syarikat MMHE, Malaysia Marine and Heavy Engineering Sdn Bhd, melibatkan kerja kejuruteraan pembinaan, fabrikasi, penyiapan mekanikal, pemuatan keluar dan pengancing laut, dan kerja-kerja seni bina berasaskan kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (EPC).
Tempoh subkontrak adalah kira-kira 36 bulan dengan fabrikasi akan bermula pada 2025 dan siap menjelang 2028.
Selain itu, MMHE dan Petrofac akan bekerjasama dalam kerja-kerja fabrikasi untuk dua unit tambahan OSS yang sama saiz.
Ini adalah subkontrak keduanya dalam projek seumpamanya dengan OSS HVDC pertama daripada Petrofac International bernilai RM1.2 bilion yang diumumkan pada November 2023.
Sementara itu dalam kenyataan medianya, MMHE berkata, projek penting ini, yang dikenali sebagai Nederwiek 1, menegaskan komitmen Kumpulan terhadap pembangunan infrastruktur tenaga mampan.
"Usaha terbaru ini terbina atas komitmen dan keupayaan yang telah dibuktikan oleh MMHE setelah memperoleh subkontrak pertama untuk projek IJmuiden Ver Alpha pada November 2023 daripada Petrofac," katanya hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: MMHE peroleh subkontrak RM1.2 bilion daripada Petrofac bagi projek pencawang luar pesisir Belanda
Projek ini merupakan sebahagian daripada projek dua gigawatt TenneT BV di Eropah.
Jerman, Belanda, Denmark, dan Belgium telah bersetuju untuk memasang sekurang-kurangnya 65 gigawatt tenaga angin lepas pantai, bersama-sama menjelang tahun 2030.
Pengarah Urusan & Ketua Pegawai Eksekutif MMHB, Mohd Nazir Mohd Nor berkata, subkontrak untuk membina platform OSS HVDC ini memperkukuh rekod prestasi MMHB dalam tenaga bersih dalam menyokong hasrat sifar karbon global.
"Dengan meneruskan langkah-langkah awal kami, kemenangan subkontrak terkini ini adalah satu mercu tanda penting bagi MHB.
"Ia menandakan sumbangan kami kepada Program 2GW TenneT yang penting di Belanda, menyokong pembangunan pesat projek infrastruktur tenaga angin luar pesisir berskala besar yang penting bagi peralihan tenaga Eropah.
"Kami mengucapkan terima kasih kepada pelanggan kami, Petrofac, kerana mempercayai kami untuk menjadi sebahagian daripada projek penting ini dan kerana keyakinan mereka terhadap kemampuan kami," ujarnya.- DagangNews.com