MNRB lantik Rudy Rodzila terajui Takaful Ikhlas General | DagangNews Skip to main content

MNRB lantik Rudy Rodzila terajui Takaful Ikhlas General

 

 

KUALA LUMPUR 30 Nov - MNRB Holdings Bhd. (MNRB) melantik Datuk Rudy Rodzila Che Lamin sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif bagi subsidiari takaful amnya, Takaful Ikhlas General Bhd. 

 

Pelantikan beliau yang memiliki pengalaman selama 28 tahun dalam industri kewangan, perbankan dan insurans itu berkuat kuasa hari ini, menurut MNRB dalam kenyataan. 

 

Beliau mengambil alih jawatan tersebut daripada Eddy Azly Abidin, yang bersara pada 29 November 2021 selepas menerajui syarikat selama 3 tahun.

 

Pengerusi MNRB, Datuk Johar Che Mat berkata, Lembaga Pengarah yakin dengan pengalaman Rudy Rodzila serta perspektifnya yang luas dalam sektor institusi kewangan.

 

Katanya, ini membolehkan beliau memimpin Takaful Ikhlas ke fasa baharu pertumbuhan perniagaan. 

 

"Kami percaya pengetahuan dan pengalaman beliau dalam industri dapat menyumbang kepada gabungan kualiti dan kepakaran yang sempurna untuk jawatan baharu beliau.

 

“Lembaga Pengarah juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Eddy Azly atas sumbangan dan dedikasi beliau sepanjang berkhidmat bersama Takaful Ikhlas, terutama dalam menangani cabaran akibat pandemik COVID-19,” katanya. - DagangNews.com