MOF ambil alih projek kapal peronda luar pesisir THHE-Destini, sedia pinjaman RM153 juta | DagangNews Skip to main content

MOF ambil alih projek kapal peronda luar pesisir THHE-Destini, sedia pinjaman RM153 juta

KUALA LUMPUR 4 Jan - Kementerian Kewangan (MOF) mengambil alih projek kapal peronda luar pesisir (OPV) daripada THHE Destini Sdn Bhd selepas menemui beberapa "isu besar" berkaitan projek itu, termasuk keperluan pinjaman RM152.6 juta daripada kerajaan untuk memastikan penyiapan dan penghantaran kapal pertama dalam tahun tersebut.

 

Berikutan kelewatan projek itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa agensi penguatkuasa menjalankan tugas mereka dengan sewajarnya bagi memastikan tiada sesiapa mengambil kesempatan daripada proses perolehan awam, lapor The Edge Markets.

 

“Dua tindakan, pertama kita kena selamatkan (projek ini), OPV ini perlu disiapkan mengikut jadual, kedua kita tidak boleh melepaskan sesiapa yang bertanggungjawab atas salah guna kuasa, (dan membuat) kekayaan daripada projek ini,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Kabinet di Putrajaya hari ini.

 

THHE Destini adalah 51% dimiliki oleh Destini Bhd dan 49% dimiliki oleh TH Heavy Engineering Bhd.

 

TH Heavy telah dinyahsenarai daripada Bursa Malaysia pada September tahun lepas selepas kumpulan itu gagal mengemukakan pelan penyusunan semula untuk keluar daripada masalah kewangannya.

 

 

PM
                                            Datuk Seri Anwar Ibrahim - Gambar BERNAMA

 

 

Saham Destini, yang kehilangan 56% daripada nilainya tahun lepas, didagangkan tidak berubah pada 8 sen pada masa penulisan, memberikannya permodalan pasaran RM133.08 juta. - DagangNews.com