MoF dedahkan 101 projek runding terus zaman Pakatan Harapan bernilai RM6.61 bilion | DagangNews Skip to main content

MoF dedahkan 101 projek runding terus zaman Pakatan Harapan bernilai RM6.61 bilion

Oleh JOHARDY IBRAHIM
[email protected]



SHAH ALAM 26 Ogos - Kementerian Kewangan hari ini mendedahkan senarai penganugerahan projek kerajaan secara rundingan terus (RT) di bawah pentadbiran Pakatan Harapan yang kesemuanya berjumlah RM6.61 bilion.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata, perolehan secara RT dibenarkan dengan kelulusan Kementerian Kewangan (MOF). Ini adalah berdasarkan peruntukan sedia ada di bawah Seksyen 6(1) Akta Tatacara Kewangan 1957 (Semakan 1972) dan pekeliling-pekeliling perbendaharaan yang berkaitan.

Beliau berkata, RT dibenarkan atas dasar proses perolehan yang memenuhi salah satu atau lebih daripada syarat-syarat berikut:

a. Perolehan bekalan dan perkhidmatan melibatkan keperluan mendesak yang mana jika perolehan tersebut tidak dilaksanakan dengan segera, ia boleh memudaratkan dan menjejaskan perkhidmatan serta kepentingan negara;
b. Keperluan penyeragaman bagi memastikan kesesuaian penggunaan (compatibility) antara barangan sedia ada dengan barangan baru yang diperoleh;
c. Satu punca bekalan atau perkhidmatan iaitu pengeluaran produk atau penyediaan perkhidmatan hanya boleh dibekalkan daripada satu sumber sahaja;
d. Keselamatan/ strategik yang melibatkan perolehan item atau perkhidmatan demi keselamatan atau kepentingan strategik negara; atau
e. Kontrak dengan syarikat pembuat (manufacturer) Bumiputera yang memenuhi semua syarat kelayakan.

Menurut Tengku Zafrul, proses tersebut melibatkan permohonan daripada Kementerian-Kementerian lain kepada MOF.

"Semasa pentadbiran sebelum ini, sejumlah 101 projek atau perolehan yang bernilai RM6.61 bilion telah diluluskan secara RT oleh MOF.

"Dalam beberapa hari yang lalu, terdapat permintaan dibangkitkan berkaitan perkongsian senarai 101 maklumat projek yang telah diluluskan melalui proses RT ini. Atas dasar mendokong urus tadbir yang baik demi ketelusan pentadbiran, senarai tersebut disertakan sebagai Lampiran A," katanya dalam kenyataan media di sini.

mofmf

- DagangNews.com