KUALA LUMPUR 31 Mei - Bank Negara MalaysiaPelantikan (BNM) mengumumkan pelantikan Mohamad Ali Iqbal Abdul Khalid sebagai Penolong Gabenor baharu yang berkuat kuasa 1 Jun 2024.
Sebagai Penolong Gabenor, Iqbal akan bertanggungjawab ke atas Jabatan Operasi Pelaburan dan Pasaran Kewangan serta Jabatan Dasar Pertukaran Asing.
Menurut BNM, Iqbal memulakan kerjaya di BNM pada tahun 2002. Beliau telah berkhidmat di pelbagai jabatan di BNM, termasuk Jabatan Operasi Pelaburan dan Pasaran Kewangan, Pejabat Gabenor, Jabatan Antarabangsa serta Ketua Pejabat Perwakilan BNM di New York dan London.
"Iqbal memegang ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan daripada Massachusetts Institute of Technology, Sarjana Sains dalam bidang Pengurusan Aset (Wealth Management) daripada Singapore Management University dan Sarjana Kejuruteraan daripada University of Durham, United Kingdom.
"Beliau ditauliahkan sebagai Chartered Financial Analyst (CFA) dan Chartered Banker (CB) daripada Asian Institute of Chartered Bankers (AICB)," kata BNM.
Iqbal mengambil alih tanggungjawab daripada Timbalan Gabenor Adnan Zaylani Mohamad Zahid yang telah dilantik sebagai Timbalan Gabenor pada 1 September 2023. - DagangNews.com