Mohd. Bakke dilantik Pengerusi Petronas, Ahmad Nizam ke PHB | DagangNews Skip to main content

Mohd. Bakke dilantik Pengerusi Petronas, Ahmad Nizam ke PHB

Tan Sri Mohd Bakke Salleh

 

 


KUALA LUMPUR 12 Julai - Pejabat Perdana Menteri (PMO) mengumumkan pelantikan Tan Sri Ahmad Nizam Salleh sebagai Pengerusi Pelaburan Hartanah Berhad (PHB).

 

Jawatan beliau sebagai Pengerusi Petroliam Nasional Berhad (Petronas) akan diambil alih oleh Tan Sri Mohd Bakke Salleh.

 

Kedua-dua pelantikan ini berkuat kuasa pada 1 Ogos 2021, menurut kenyataan itu petang ini.

 

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan ribuan terima kasih atas kepimpinan dan sumbangan Tan Sri Ahmad Nizam selama 3 tahun sebagai Pengerusi Petronas. 

 

Katanya, berdasarkan pengalaman selama 37 tahun berkhidmat di syarikat minyak negara itu dalam pelbagai jawatan, beliau telah berjaya mengemudi syarikat berkenaan mengharungi cabaran terbesar yang dihadapi negara dan dunia, termasuklah ketidaktentuan harga minyak dunia dan krisis pandemik COVID-19. 

 

"Petronas masih kekal mempunyai penilaian kredit antarabangsa yang baik dan merupakan syarikat unggul negara yang tersenarai dalam Fortune Global 500," katanya. 

 

 

Ahmad Nizam Salleh
Ahmad Nizam Salleh

 

 

Bagaimanapun, menurut Perdana Menteri, Ahmad Nizam akan kekal sebagai Pengerusi kumpulan syarikat KLCC.

 

Ini kerana katanya, pengalaman beliau di Petronas dan dalam pengurusan hartanah utama di KLCC akan membawa nafas baharu kepada hala tuju dan pengurusan PHB dalam meningkatkan pemilikan bumiputera terhadap hartanah komersial negara.

 

Sementara itu, Muyhiddin menyifatkan Mohd Bakke sebagai ahli korporat yang berpengalaman luas dan telah berkhidmat dalam pelbagai bidang ekonomi dan kewangan.

 

"Diharapkan kemahiran dan pengalaman yang dimiliki oleh beliau serta sokongan padu daripada Lembaga Pengarah dan pasukan pengurusan sedia ada, akan dapat membawa Petronas melalui tempoh mencabar sekarang ke tahap yang lebih cemerlang," jelasnya. 

 

Beliau juga berkata, kerajaan sedang meneruskan program untuk mentransformasi syarikat-syarikat berkaitan kerajaan supaya terus kukuh dan bersedia menghadapi fasa pemulihan pasca COVID-19 dalam norma baharu. 

 

Perubahan ini akan dilaksanakan dari semasa ke semasa, demikian menurut Perdana Menteri. - DagangNews.com