Mohd Farid Kamarudin dilantik sebagai Pengarah Urusan RHB Asset Management baharu berkuat kuasa 1 Ogos 2023 | DagangNews Skip to main content

Mohd Farid Kamarudin dilantik sebagai Pengarah Urusan RHB Asset Management baharu berkuat kuasa 1 Ogos 2023

Mohd Farid Kamarudin
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 28 Julai - Kumpulan Perbankan RHB melantik Mohd Farid Kamarudin sebagai Pengarah Urusan RHB Asset Management Sdn Bhd berkuat kuasa 1 Ogos 2023.

 

Pengarah Urusan Perbankan Borong Kumpulan RHB, Syed Ahmad Taufik Albar berkata, mempunyai pengalaman luas dalam pengurusan dana konvensional dan Islam serta unit amanah, di samping menerajui usaha mencipta nilai jangka panjang dengan memperkenalkan produk yang mampan dan inovatif bagi memenuhi trend ekonomi dan industri yang berkembang.

 

"Rekod prestasinya yang terbukti dalam menyampaikan hasil mengiktiraf keupayaannya membantu mempercepatkan perniagaan Pengurusan Aset Kumpulan dan Pemegang Amanah di Malaysia dan Singapura," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

Sebelum memegang jawatan baharunya, Mohd Farid adalah Ketua Pegawai Eksekutif RHB Islamic International Asset Management Bhd.

 

Beliau memulakan kerjayanya sebagai penganalisis pelaburan di Permodalan Nasional Bhd (PNB) pada1996.

 

Selepas berkhidmat di PNB, beliau mengambil pelbagai peranan di syarikat pengurusan aset yang berbeza, meliputi penyelidikan dan pengurusan pendapatan tetap sukuk dan dana atau mandat ekuiti , pelaporan peraturan dan pembangunan produk.

 

Pada 2007, beliau menyertai AmIslamic Funds Management Sdn Bhd sebagai pengarah eksekutif, menguruskan dana sukuk.

 

Sebelum menyertai RHB, Mohd Farid adalah ketua pelaburan Islam Asia dan Ketua Pegawai Eksekutif Threadneedle Asset Management Malaysia.

 

Mohd Farid turut memiliki Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari University of Newcastle di United Kingdom dan dianugerahkan Sijil Amalan Undang-Undang oleh Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang Malaysia pada 1996. 

 

Beliau memperoleh Diploma Siswazah dalam Kewangan Gunaan dan Pelaburan daripada PNB Investment Institute, sebuah usaha sama antara PNB dan Institut Sekuriti Australia, pada 2002. Beliau juga memegang Lesen Wakil Perkhidmatan Pasaran Modal untuk aktiviti terkawal pengurusan dana. - DagangNews.com