Mohd. Rani CEO baharu KTMB | DagangNews Skip to main content

Mohd. Rani CEO baharu KTMB

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 1 Dis.Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengumumkan pelantikan Mohd. Rani Hisham Samsudin (gambar atas) sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu, berkuatkuasa hari ini.

 

Pengerusi KTMB, Datuk Rameli Musa berkata, pelantikan itu bagi menggantikan Datuk Kamarulzaman Zainal yang tamat perkhidmatan pada 30 November lalu, selepas lebih setahun memegang jawatan berkenaan.

 

“KTMB merakam ucapan terima kasih kepada Kamarulzaman di atas perkhidmatan beliau.

 

“Pelantikan CEO yang baharu berhadapan dengan cabaran tersendiri ketika syarikat mengalami penurunan jumlah penumpang yang ketara akibat penularan pandemik COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

 

Tambah Rameli, Mohd. Rani mempunyai pengalaman menerajui syarikat itu selama dua tahun bermula 2017 hingga 2019.

 

“Beliau perlu memastikan pelan pembangunan masa depan syarikat dapat dilaksanakan segera, seiring dengan senario semasa.

 

“Ini termasuk agenda pembiayaan operasi dan aset, pengukuhan struktur serta tata kelola organisasi dan mengoptimumkan nilai korporat penyedia pengangkutan rel utama negara itu,” katanya lagi.

 

Mohd Rani, 58, yang merupakan lulusan bidang Pengurusan Perniagaan dari Universiti Northrop, California itu memulakan kerjaya profesionalnya dengan beberapa buah syarikat pengangkutan dan logistik di Amerika Syarikat (AS).

 

Sekembalinya ke tanah air, beliau menyertai beberapa buah syarikat seperti Pos Aviation Sdn. Bhd., Senai Airport Terminal Services Sdn. Bhd., MISC Trucking & Warehousing Sdn. Bhd., DHL Global Forwarding dan Sime Darby Berhad.

 

Berpengalaman lebih 34 tahun dalam pengurusan logistik, pengangkutan awam dan kargo, beliau sebelum ini merupakan CEO Kontena Nasional Berhad sejak Oktober tahun lepas. – DagangNews.com