Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 27 Nov. - Momentum pemulihan syarikat Sime Darby Bhd (Sime Darby) dalam sektor automotif di China dijangka akan berterusan pada suku keempat tahun kewangan semasa 2020.
CGS-CIMB Research berkata, jangkaan itu didorong oleh peningkatan sentimen pengguna dan penambahan perbelanjaan infrasturuktur.
"PBIT (keuntungan sebelum faedah dan cukai) Sime Darby meningkat 8.4% berbanding tahun lalu pada suku pertama tahun kewangan 2021 yang didorong oleh permintaan kenderaan mewah yang tinggi khususnya di China.
"Syarikat tersebut mencatatkan kadar faedah cukai efektif 29.6% pada suku pertama 2021 berbanding 26.2% pada suku pertama 2020 kerana cukai pegangan dan perbelanjaan yang tidak ditolak
"Oleh itu, keuntungan bersih kumpulan meningkat 0.7% tahun ke tahun kepada RM272 juta," jelas CGS-CIMB Research.
PBIT dalam bahagian motor Sime Darby melonjak 66% disebabkan oleh jumlah penjualan yang lebih tinggi di pasaran China, Malaysia, Australia dan New Zealand.
Margin PBIT bahagian motor itu ditingkatkan sebanyak 0.7% pts berbanding tahun lalu kepada 3.1% pts pada suku pertama 2021.
Peningkatan tersebut didorong oleh permintaan yang lebih tinggi untuk kenderaan mewah di China dan diskaun yang lebih rendah.
"Hasil perkhidmatan selepas jualan dan alat ganti yang dicapai dalam bahagian motor meningkat 32.2% berbanding tahun lalu pada suku pertama 2021.
"Kami mengharapkan kumpulan ini dapat mengekalkan momentum pertumbuhan yang sihat di bahagian motor, didorong oleh pelancaran baharu seperti model sedan Facelift 5-Siri dan BMW iX3 selain SUV elektrik sepenuhnya di China pada 20 November 2020," tambah CGS-CIMB Research.
CGS-CIMB Research mengambil keputusan untuk mengekalkan saranan 'tambah' saham Sime Darby dengan harga sasaran sesaham (TP) bernilai RM2.70 berbanding RM2.65 pada sebelumnya. - DagangNews.com