Momentum pemulihan pendapatan VS Industry dijangka berterusan hingga FY21 | DagangNews Skip to main content

Momentum pemulihan pendapatan VS Industry dijangka berterusan hingga FY21

VS Industry Bhd. (VSI)

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 29 Sept. - Momentum pemulihan pendapatan syarikat penyedia perkhidmatan elektronik, VS Industry Bhd. (VSI) dijangka akan berterusan hingga tahun kewangan 2021.

CGS-CIMB Research berkata, jangkaan itu turut didorong oleh peningkatan pengeluaran untuk pelanggan yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) di samping pertumbuhan pesanan yang stabil daripada pelanggan yang ada.

"Kami juga menjangkakan margin keuntungan sebelum cukai (PBT) untuk tahun kewangan 2021 akan meningkat sebanyak 2.2% berbanding tahun sebelumnya di belakang laveraj operasi (operating laverage) dan gabungan margin kasar yang lebih baik daripada pelanggan baharu.

"Kami telah meningkatkan ramalan EPS (jangkaan perolehan sesaham) untuk tahun kewangan 2021-2022 sebanyak 1.1% hingga 5.1% susulan jangkaan penjualan operasi yang lebih baik pada tahun kewangan 2021," jelas CGS-CIMB Research.

Laveraj operasi adalah satu formula kos perakaunan yang mengukur sejauh mana sesebuah syarikat atau projek dapat meningkatkan pendapatan operasi dengan meningkatkan jumlah pendapatan.

VSI melaporkan keuntungan bersih pada tahun kewangan 2020 syarikatnya berjumlah RM126.8 juta, melebihi jangkaan CGS-CIMB dan konsensus.

Bagi suku keempat tahu kewangan 2020, VSI berjaya mencapai jumlah keuntungan bersih sebanyak 66.2 juta.

Jumlah tersebut meningkat sebanyak 74.5% berbanding suku sebelumnya.

Peningkatan pendapatan tersebut disebabkan oleh penjualan yang lebih tinggi daripada yang dijangkakan pada suku keempat tahun kewangan 2020 selepas menghentikan operasi pada suku ketiga 2020 akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

CGS-CIMB Research turut mengekalkan saranan 'tambah' saham VSI dengan harga sasaran sesaham (TP) yang ditingkatkan pada harga RM2.52. - DagangNews.com