Gambar Reuters
Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 29 Mac - Prestasi perdagangan Malaysia dijangka melonjak semula pada tahun ini, dengan momentum yang lebih kukuh pada tempoh Julai hingga Disember 2021.
Situasi itu akan dipacu oleh aktiviti global yang berjalan semula susulan rantaian bekalan global yang kembali normal, ramal MIDF Research.
“Bagi dua bulan pertama tahun ini, pertumbuhan eksport dan import masing-masing berpurata pada +11.7% tahun ke tahun (y-o-y) dan +6.6%yoy.
“Harga komoditi dan kapasiti ganti yang berdaya saing akan menjadi perangsang tambahan kepada pemulihan.
“Minat melabur juga akan bertambah baik, dipacu oleh adanya vaksin yang lebih jelas. Malaysia akan menerima manfaat daripada pemulihan yang kukuh dari rakan kongsi utama negara iaitu China dan Amerika Syarikat (AS)," jelas firma penyelidikan itu dalam nota kajiannya hari ini.
Ujarnya, pengedaran vaksin bersama-sama sokongan fiskal dan dasar monetari yang besar dalam ekonomi utama akan melonjakkan permintaan.
Menurut laporan Perangkaan Perdagangan Luar Negeri, Februari 2021 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini, Malaysia kembali mencatatkan pertumbuhan positif dua digit bagi import dan eksport selepas 12 bulan.
Baca : Import, eksport Malaysia kembali catat pertumbuhan 2 digit
Mengulas mengenai situasi semasa di Terusan Suez, MIDF meramalkan impak krisis itu ke atas perdagangan Malaysia adalah minimum.
Bagaimanapun, firma penyelidikan itu memberi amaran bahawa terusan yang menyambungkan titik transit Eropah dan Asia itu menyebabkan tekanan ke atas rantaian bekalan.
“...Di mana memberi impak ke atas pengangkutan pelbagai barang, meliputi minyak dan gas hingga barangan pengguna.
Baca : Krisis Terusan Suez beri sokongan sementara harga minyak
“Buat masa ini, impaknya ke atas perdagangan dilihat minimum, paling banyak pun menyebabkan kelewatan penghantaran,” jelas MIDF lagi.
Namun, sekiranya gangguan itu berterusan, ini akan memberikan impak yang signifikan ke atas aliran perdagangan memandangkan peralihan laluan dan kelewatan akan meningkatkan kos, kata MIDF.
Situasi itu sekali gus menambahkan beban kepada rantaian bekalan yang ketika ini sedang pulih secara beransur-ansur akibat pandemik COVID-19, tambahnya. - DagangNews.com