Momentum pertumbuhan ekonomi Malaysia akan mengukuh hujung tahun ini - MIDF | DagangNews Skip to main content

Momentum pertumbuhan ekonomi Malaysia akan mengukuh hujung tahun ini - MIDF

PEMULIHAN yang mampan di peringkat permintaan global akan menyokong pemulihan permintaan eksport negara pada masa akan datang. - Gambar hiasan oleh MKJR

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 2 Sept. - Momentum pertumbuhan ekonomi Malaysia diyakini mengukuh menjelang penghujung tahun ini berdasarkan perkembangan program vaksinasi negara yang memberangsangkan. 

 

Firma penyelidikan, MIDF Research dalam masa sama percaya pemulihan yang mampan di peringkat permintaan global juga akan menyokong landasan pemulihan permintaan eksport negara pada masa akan datang.

 

Di peringkat sektor pembuatan, firma itu menjelaskan bahawa pemain industri menzahirkan keyakinan mereka terhadap prospek peningkatan output kilang pada tahun hadapan memandangkan permintaan akan pulih secara beransur-ansur dengan sekatan pergerakan dilonggarkan.

 

Bagaimanapun, pada bulan lalu, Indeks Pengurusan Pembelian (PMI) Pembuatan Malaysia meloncat kepada 43.4 daripada 40.1 pada Julai 2021, mencatatkan penguncupan untuk tiga bulan berturut-turut walaupun pada kadar yang lebih perlahan berbanding bulan sebelumnya. 

 

“Kemerosotan dalam aktiviti pembuatan dikaitkan dengan pertumbuhan output, tempahan baharu dan jualan eksport yang lebih lemah. Lonjakan semula dalam kes COVID-19 di negara-negara lain serta cabaran logistik ekoran langkah pengekangan yang lebih ketat menyebabkan pengurangan berterusan di dalam tempahan eksport. 

 

“Kekurangan rantaian bekalan dan bahan telah menyebabkan output lebih rendah. Dalam pada itu, pengambilan pekerjaan juga berterusan menyusut, sementara kerja yang tertangguh melonjak selepas menurun pada Julai, dipacu oleh pengurangan dalam tahap pengeluaran dan kekurangan bahan input,” jelas firma itu dalam satu nota kajiannya. 

 

Seiring data PMI yang diterbitkan oleh IHS Markit, dapatan Kaji Selidik Keadaan Perniagaan 1H2021 FMM-MIER yang dikeluarkan semalam turut mendedahkan aktiviti perniagaan telah menguncup pada tempoh berkenaan ketika ‘lockdown’ dikuatkuasakan, sekali gus memberi tekanan lagi kepada sektor pembuatan. 

 

Menurut kaji selidik itu, indeks jangkaan untuk penjualan tempatan dan eksport masing-masing menurun kepada 51 dan 68, menunjukkan bahawa permintaan domestik dan luaran berkemungkinan akan tetap lemah pada bulan-bulan mendatang.

 

Sementara, lebih separuh daripada responden iaitu 59% meramalkan jualan tempatan akan lemah pada separuh kedua tahun ini, ramalan sama untuk jualan eksport.

 

Tambah MIDF, pemain industri pembuatan berterusan berdepan cabaran kadar inflasi dalam harga input yang disebabkan oleh kos bahan mentah dan logistik yang tinggi. 

 

“Sementara itu, harga output yang lebih tinggi menunjukkan firma-firma melepaskan peningkatan kos itu kepada pelanggan mereka.

 

"Trend serupa juga dapat diperhatikan di negara ASEAN lain memandangkan aktiviti pembuatan terus menyusut pada Ogos 2021,” jelas MIDF. - DagangNews.com