KUALA LUMPUR 21 Sept. - Kenaikan harga minyak ketika ekonomi global kembali pulih dijangka memberi keuntungan kepada bank-bank Islam di Malaysia, menurut Moody's Investors Service.
Agensi penarafan itu berkata, negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) sebagai pengeluar hidrokarbon utama dan Malaysia dengan sebahagian besar pendapatan kerajaan diperoleh daripada pengeluaran minyak, akan mendapat manfaatnya.
"Dengan tindakan Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) mengubah jumlah pengeluaran awal sebelumnya, pendapatan minyak yang lebih tinggi akan meningkatkan kemampuan kerajaan untuk merangsang ekonomi bukan berasaskan minyak.
"Sektor bukan minyak menguasai sebahagian besar pendedahan terhadap pembiayaan bank,” katanya dalam laporan seperti dilapor Bernama hari ini.
Moody's mengunjurkan ekonomi di rantau GCC, Asia Selatan dan Asia Tenggara akan kembali berkembang tahun ini.
Malah, ia menyatakan ramalan harga minyak jangka sederhana pada masa ini mengandaikan minyak mentah Brent akan berada pada purata AS$45 hingga AS$65 setong, meningkat daripada AS$42 setong tahun lalu.
Namun, menurut agensi itu, di kebanyakan pasaran perbankan Islam utama, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tidak mungkin kembali ke tahap sebelum COVID-19 sehingga 2022.
Dalam pada itu, Moody's berkata, kualiti aset runcit di Malaysia akan kekal kukuh kerana biro kredit yang mapan dan rekod prestasi taja jamin yang berhemah dalam kalangan bank.
"Walaupun bank-bank Islam memberi tumpuan terutamanya pada pasaran runcit, pembiayaan korporat tetap menjadi komponen penting dalam pendedahan kredit mereka termasuk kepada sektor pembinaan, kontrak dan hartanah yang sensitif terhadap keyakinan," jelasnya.
Menurutnya lagi, bank-bank Islam di Malaysia dan Indonesia turut memiliki pendedahan yang cukup besar terhadap perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang peka ekonomi.
Secara dasarnya, kata agensi itu, pembiayaan PKS di Malaysia menyumbang 12% daripada jumlah pembiayaan Islam setakat 30 Jun 2021. - DagangNews.com