Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 2 Sept. - Moratorium bayaran balik pinjaman institusi kewangan dianggarkan berjumlah RM78.14 bilion setakat 21 Ogos 2020.
Sebanyak RM27.35 bilion daripada angka itu melibatkan jumlah yang dimanfaatkan oleh sektor perniagaan, manakala jumlah yang dimanfaatkan oleh rakyat bernilai RM50.79 bilion.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (gambar) berkata, institusi kewangan sedia membantu mereka yang masih memerlukan lanjutan moratorium dan bantuan bank bersasar selepas 30 September 2020.
“Pihak yang masih terkesan boleh mula hubungi institusi perbankan untuk berbincang dan memohon fleksibiliti pembayaran balik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Moratorium pinjaman akan berakhir 30 September ini, tetapi mereka yang masih memerlukan bantuan itu boleh melanjutkannya berdasarkan kelayakan yang ditetapkan atau menerima kemudahan penyusunan dan penjadualan semula pembayaran.
Baca : Moratorium dilanjut 3 bulan bagi individu, PKS yang masih terjejas
Dalam pada itu, skim pengeluaran i-Lestari di bawah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) setakat 21 Ogos 2020 berjumlah RM7.48 bilion, meningkat daripada RM7.4 bilion pada minggu lalu.
Angka itu melibatkan 4.57 juta penerima, meningkat daripada 4.55 juta.
Mengulas mengenai perkembangan Program Subsidi Upah, Tengku Zafrul berkata, sebanyak RM10.3 bilion telah diluluskan yang memanfaatkan lebih 2.61 juta pekerja.
“Daripada jumlah ini, sebanyak RM8.9 bilion telah berjaya disalurkan.
“Kedua, Dana Pinjaman Mudah Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) yang dikendalikan oleh Bank Negara Malaysia (BNM). Setakat 21 Ogos 2020 jumlah permohonan yang telah diluluskan oleh bank-bank tempatan dan disetuju terima oleh PKS adalah RM10.2 bilion yang akan memberi manfaat kepada 22,322 PKS,” tambah beliau. - DagangNews.com