Moratorium beri kelegaan sehingga RM80 bilion kepada peminjam | DagangNews Skip to main content

Moratorium beri kelegaan sehingga RM80 bilion kepada peminjam

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]


 

KUALA LUMPUR 1 Julai - Pemberian moratorium di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) dijangka membawa kelegaan sehingga RM80 bilion kepada peminjam individu dan perniagaan. 

 

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ia merupakan kali kedua Malaysia memperkenalkan moratorium pinjaman secara menyeluruh selepas kali pertama diperkenalkan pada Mac tahun lalu. 

 

"Tiada negara lain di dunia yang memberikan moratorium menyeluruh seperti ini, malah kebanyakannya hanya menyediakan bantuan pinjaman secara bersasar dan terhad.

 

"Namun, perlu ditekankan di sini bahawa kemudahan moratorium ini bukan bermaksud pinjaman dimaafkan. 

 

"Tetapi ia tidak mempunyai faedah berkompaun, iaitu tidak dikenakan faedah ke atas faedah," katanya dalam laporan Laksana ke-59 hari ini. 

 

Moratorium 6 bulan itu akan ditawarkan kepada semua peminjam individu (merangkumi B40, M40 atau T20) dan
usahawan mikro, tanpa dikenakan syarat seperti pengurangan pendapatan atau hilang pekerjaan yang akan dibuka mulai 7 Julai ini. 

 

Kemudahan itu juga ditawarkan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas tertakluk kepada semakan dan kelulusan pihak bank. 

 

Di bawah Pemulih, moratorium ini tidak memerlukan sebarang dokumen dan peminjam hanya perlu menandatangani perjanjian pindaan syarat-syarat pinjaman berkaitan.

 

Mengulas lebih lanjut, Tengku Zafrul berkata, menerusi moratorium ini, hanya faedah terkumpul dikenakan seperti biasa apabila peminjam mula membuat bayaran selepas 6 bulan. 

 

"Mereka juga tidak dikenakan penalti dan tidak direkodkan dalam CCRIS bagi mereka yang memilih kemudahan moratorium. 

 

"Ini kerana ada yang ingin membayar semula dengan kadar bayaran balik asal selepas tempoh moratorium selesai, ada juga yang ingin bayar dengan jumlah yang lebih rendah dan memanjangkan tempoh bayaran balik," tambahnya. 

 

Menurutnya, bagi mereka yang memilih untuk melanjutkan tempoh bayaran pinjaman lebih lama daripada tempoh asal, sudah tentu faedah yang perlu dibayar lebih tinggi tetapi perkara ini perlu dirunding dengan bank masing-masing. 

 

Mengenai hutang kad kredit pula, katanya, ia masih perlu dibayar tetapi jika memerlukan, boleh ditukar kepada pinjaman dengan kadar faedah yang lebih rendah. 

 

"Dalam erti kata, ia masih berhutang tetapi kosnya lebih rendah dan masa untuk membayar juga lebih panjang," jelas beliau.

 

Tengku Zafrul berkata, pemberian moratorium ini merupakan langkah sementara sahaja, iaitu sebahagian daripada inisiatif Pelan Pemulihan Negara. 

 

"Ia perlu dilihat bersama dengan usaha kita untuk mempercepatkan peralihan ke fasa PKP seterusnya. 

 

"Lagi cepat kita beralih fasa, lagi cepat pelbagai sektor boleh beroperasi, maka lagi cepat pemulihan ekonomi kita," katanya. - DagangNews.com