KUALA LUMPUR 9 Nov - Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mengumumkan pembentukan Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI), melalui penggabungan 2 agensi di bawah kementerian iaitu Technology Park Malaysia (TPM) dan MaGIC.
MRANTI dijangka beroperasi tahun hadapan selaras dengan agenda pemangkin pengkomersialan teknologi negara menerusi Pemecut Pengkomersialan Teknologi dalam memacu pertumbuhan ekonomi
Malaysia melalui sains, teknologi dan inovasi (STI-E).
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Adham Baba berkata, misi utama MRANTI adalah untuk memudahcara proses pencetusan idea sehingga ke penghasilan impak melalui penciptaan, pembangunan dan pengkomersialan teknologi dan inovasi.
Katanya, penubuhan MRANTI di bawah program TCA ini adalah selaras dengan strategi di bawah pemangkin dasar membangunkan tenaga kerja masa hadapan dan mempercepat penerimagunaan teknologi dan inovasi yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).
"Melalui MRANTI, Return on Ideas atau pulangan daripada idea secara umumnya merujuk kepada pertukaran pengetahuan kepada perolehan fiskal.
"MRANTI ditubuhkan sebagai landasan pelancaran teknologi dan inovasi untuk membantu perusahaan, penyelidik dan pencipta memaksimumkan pulangan idea pada kadar yang lebih cepat, dengan mengoptimumkan sinergi," katanya ketika berucap dalam majlis mengumumkan penubuhan MRANTI hari ini.
Selain menawarkan program pembangunan kapasiti dan bantuan untuk menembusi pasaran, MRANTI juga akan menawarkan kemudahan fasiliti prototaip dan lapangan ujian langsung serta kemudahan dan perkhidmatan infrastruktur lain kepada para penyelidik dan inovator.
Pada majlis tersebut, beberapa memorandum persefahaman (MoU) turut dimeterai, antaranya, TPM dan Universiti Malaya, Universiti Teknologi Petronas, Universiti Teknologi Mara dan Universiti Sains Malaysia.
Di samping itu, ia membabitkan MoU antara MaGIC dan Entiti Neutral Akademi Sains Malaysia iaitu Collaborative Research in Engineering, Science and Technology (CREST), Halal Development Corp. (HDC), Nano Malaysia Bhd. dan Pusat Antarabangsa Pendidikan Kewangan Islam (INCIEF) serta MOSTI dan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).
MoU tersebut bertujuan menggalakkan pemindahan teknologi daripada makmal kepada industri yang akan membawa kepada pengkomersialan harta intelek dan hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) universiti.
Pada masa sama, MoU di antara MOSTI dan MyIPO pula adalah kerjasama dalam perkongsian data Harta Intelek yang dibenarkan di bawah peruntukan Perundangan Harta Intelek sedia ada.
Kerjasama tersebut turut merangkumi perkongsian Data Pembiayaan Dana oleh MOSTI, serta menggalakkan penggunaan portal Intellectual Property Rights (IPR) Marketplace sebagai platform dagangan harta intelek dalam kalangan pemilik harta intelek warganegara Malaysia yang mendapat pembiayaan daripada MOSTI. - DagangNews.com