MPay, PLUS bekerjasama sedia perkhidmatan bayaran tanpa tunai di lebuh raya | DagangNews Skip to main content

MPay, PLUS bekerjasama sedia perkhidmatan bayaran tanpa tunai di lebuh raya

 

 

KUALA LUMPUR 8 Dis - ManagePay Systems Bhd. (MPay) menerusi anak syarikatnya, ManagePay Services Sdn. Bhd. menandatangani perjanjian bagi pembayaran runcit tanpa tunai di kawasan rehat dan perkhidmatan, tempat letak kenderaan dan platform lain dengan PLUS Malaysia Bhd. 

 

Dalam makluman di Bursa Malaysia, MPay berkata, ManagePay Services akan menyediakan perkhidmatan berkaitan pembangunan aplikasi perisian, aplikasi peniaga, integrasi sistem, pelancaran terminal bayaran dan perkhidmatan Internet Payment Gateway kepada rakan kongsi perniagaan PLUS yang beroperasi di sepanjang lebuh raya yang dikendalikan PLUS Group. 

 

"Perjanjian ini membabitkan tempoh selama 3 tahun mulai daripada tarikh perjanjian (3 Disember 2021) dengan pembaharuan automatik bagi tempoh setahun berturut-turut," katanya hari ini. 

 

Menurut MPay, perjanjian itu tidak akan memberi kesan kepada terbitan modal saham dan pemegangan saham utama syarikat.

 

Ia juga dijangka tidak memberi kesan material terhadap aset bersih, pendapatan dan gearan syarikat serta anak-anak syarikat bagi tahun kewangan 2021 (FY21).

 

"Bagaimanapun, ia dijangka menyumbang secara positif bagi pendapatan kumpulan untuk FY22," tambahnya. - DagangNews.com