Malaysian Pacific Industries diunjur terus berdepan cabaran dalam tempoh terdekat kesan pemulihan lebih perlahan – AmInvestment | DagangNews Skip to main content

Malaysian Pacific Industries diunjur terus berdepan cabaran dalam tempoh terdekat kesan pemulihan lebih perlahan – AmInvestment

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 16 Nov - Malaysian Pacific Industries Berhad (MPI) diunjur terus berdepan cabaran dalam tempoh terdekat berikutan pemulihan lebih perlahan, terutamanya dalam produk elektronik pengguna, kata AmInvestment Bank Research.

 

Firma penyelidikan itu menambah bahawa ketegangan geopolitik yang berterusan dan kadar faedah tinggi bagi tempoh lebih lama di negara maju berkemungkinan terus melembapkan perbelanjaan pengguna.

 

“Kami turut berhati-hati terhadap segmen automotif kumpulan, Kami percaya bahawa kelembapan dalam segmen ini dengan permintaan pelanggan untuk menangguhkan penghantaran berpotensi membawa kepada longgokan dalam inventori cip automotif,” ulasnya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Oleh demikian, AmInvestment mengurangkan pendapatan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024 dan 2025 (FY24-FY25) sebanyak 32% hingga 44% untuk mencerminkan andaian pertumbuhan jualan yang lebih konservatif memandangkan pemulihan industri semikonduktor  lebih perlahan daripada jangkaan.

 

Selain itu, firma itu menurunkan anggaran margin kasar memandangkan tekanan kos kekal tinggi.

 

Firma itu mengekalkan saranan ‘pegang’ dengan nilai saksama (FV) lebih rendah pada RM23.40 sesaham daripada RM25.70 sebelumnya.

 

Firma itu menyelaraskan unjuran susulan keuntungan bersih MPI bagi suku pertama tahun kewangan 2024 (1QFY24) sebanyak RM17 juta di bawah jangkaan, mencakupi 8% daripada anggaran firma dan 10% daripada unjuran konsensus.

 

 “Varians kepada anggaran kami disebabkan terutamanya oleh hasil jualan yang lebih rendah daripada jangkaan manakala margin kasar menguncup disebabkan permintaan lebih lemah untuk produk pasaran akhir dalam segmen produk elektronik pengguna,” katanya.

 

Dalam jangka panjang pula, AmInvestment sebaliknya menjangkakan pemulihan dalam pendapatan penyedia perkhidmatan pembungkusan dan ujian semikonduktor itu didorong oleh pelanggan baharu segmen automotif yang memanfaatkan peningkatan permintaan bagi kenderaan elektrik.

 

Selain MPI juga dijangka menyaksikan peningkatan sumbangan daripada segmen perindustrian dengan lonjakan dalam pusat data dan keperluan untuk pelayan.

 

Setakat pukul 10:05 pagi ini, saham MPI menurun 8 sen atau 0.3% kepada RM27.10 dengan permodalan pasaran sebanyak RM5.69 bilion. - DagangNews.com