Mesyuarat pertama Majlis Pembangunan Keusahawanan Nasional (MPKN) diadakan secara maya hari ini dipengerusikan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
KUALA LUMPUR 9 Feb. – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) yakin penubuhan Majlis Pembangunan Keusahawanan Nasional (MPKN) akan menjadi pemangkin ke arah menjadikan Malaysia sebagai Negara Keusahawanan Unggul menjelang 2030.
Selaras dengan aspirasi ini, kerajaan menyasarkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana menyumbang sebanyak 50% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding 38.9% yang dicapai pada 2019.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, penubuhan MPKN amat bertepatan dengan mengambil kira situasi semasa negara dalam memulihkan semula ekonomi akibat pandemik COVID-19.
Katanya, kementerian melalui MPKN akan mengenal pasti langkah-langkah yang strategik dan proaktif untuk menangani isu, masalah dan cabaran yang dihadapi oleh usahawan di samping menyelaras pelaksanaan inisiatif
keusahawanan di peringkat persekutuan dan kerajaan negeri.
"Di samping itu, platform MPKN juga akan digunakan oleh MEDAC untuk mendapatkan maklumat mengenai perkembangan dan situasi sebenar usahawan di peringkat akar umbi termasuk maklumat dan data mengenai
usahawan informal yang berjumlah lebih 1 juta pada ketika ini.
"Dengan maklumat dan data yang diperolehi akan membantu MEDAC membuat perancangan dan intervensi yang bertepatan dengan keperluan sebenar usahawan serta memastikan tiada pertindihan bantuan di antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mesyuarat pertama MPKN diadakan secara maya hari ini dipengerusikan oleh Wan Junaidi dengan kehadiran Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri atau Exco yang bertanggungjawab ke atas pembangunan keusahawanan dan Ketua Jabatan agensi pembangunan ekonomi/keusahawanan negeri.
Keanggotaan MPKN turut merangkumi Menteri dan Setiausaha Tetap Kementerian yang bertanggungjawab ke atas pembangunan keusahawanan bagi negeri Sabah dan Sarawak serta Kementerian dan agensi Kerajaan Persekutuan yang diwakili oleh Ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua Jabatan agensi berkenaan.
Dalam pada itu, Wan Junaidi turut mengumumkan pada 2021, MEDAC melalui pendekatan 5E iaitu Enculture, Enable. Empower, Energise dan Engage akan melaksanakan pelbagai program dengan jumlah peruntukan sebanyak RM3.5 billion.
"Peruntukan ini akan memberi manfaat kepada usahawan dan bakal usahawan di pelbagai peringkat dan latar belakang," katanya.
Program ini merangkumi dari segi pembiayaan, diskaun sewaan, program pembangunan kapasiti dan latihan, pendigitalan dan adaptasi teknologi, akses kepada pasaran serta moratorium dan bantuan bersasar bagi membantu usahawan mengadaptasi norma baharu perniagaan susulan pandemik COVID-19.- DagangNews.com