MPN yakin proses pemulihan ekonomi akan kembali rancak - Muhyiddin | DagangNews Skip to main content

MPN yakin proses pemulihan ekonomi akan kembali rancak - Muhyiddin

MUHYIDDIN Yassin bertanya sesuatu kepada pegawai imigresen di pintu masuk negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 15 April 2022.

SEPANG 15 April - Majlis Pemulihan Negara (MPN) yakin proses pemulihan ekonomi negara akan kembali rancak dalam tempoh beberapa bulan akan datang susulan pembukaan semula sempadan negara pada 1 April.

 

Pengerusi MPN Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, prosedur operasi standard untuk pengembara yang dipermudah  akan menggalakkan lebih ramai pelancong kembali mengunjungi negara ini.

 

Beliau berkata difahamkan 50 syarikat penerbangan kembali mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan ini merupakan petanda baik.

 

"Pelawat juga lebih 250,000 orang sehingga hari ini tapi jumlah itu masih rendah daripada sasaran. Setelah negara ditutup kepada dunia sekian lama, kita tidak boleh jangka dua minggu mencanak naik," katanya kepada media selepas meninjau situasi di KLIA hari ini.

 

Muhyiddin berkata proses itu akan mengambil masa sekurang-kurangnya dua tahun sebelum negara pulih seperti dahulu.

 

Beliau berkata memandangkan sektor pelancongan, yang menyumbang RM80 bilion setahun kepada negara, adalah antara yang terkesan teruk ekoran pandemik COVID-19, satu taklimat akan diadakan bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya bagi meneliti proses pemulihan sektor itu yang dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya tiga tahun untuk kembali pulih.

 

Lawatan Muhyiddin itu turut disertai Pengerusi Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir dan Pengarah Urusan MAHB, Dato’ Iskandar Mizal Mahmood, serta Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Dato Abdul Halim Abdul Rahman; Timbalan Ketua Pengarah Imigresen, Dato Makhzan Mahyuddin, dan wakil-wakil agensi Kerajaan yang bertugas di KLIA.


 

Muhyiddin

 


Muhyiddin berkata, semasa tinjauan tersebut, didapati proses kemasukan termasuk pemeriksaan imigresen amat teratur. Setelah dua tahun suasana sepi, KLIA kembali meriah dengan pengembara pengembara tempatan dan luar negara.

 

Dalam dua minggu pertama pembukaan sempadan, KLIA telah menerima lebih 180,000 individu dari luar negara. Ini merupakan satu indikator yang memberangsangkan dan menjelang perayaan Hari Raya Aidilfitri, jumlah ketibaan antarabangsa dijangka akan meningkat lagi.

 

''Saya turut berkesempatan untuk berjumpa bersama pengusaha-pengusaha yang beroperasi di KLIA bagi mendapat maklum balas mereka terutamanya cabaran yang dihadapi akibat pandemik COVID-19.

 

''Pembukaan semula sempadan ini membolehkan mereka bernafas lega walaupun majoriti mereka menyatakan kerisauan bahawa jualan masih perlahan walaupun aktiviti rancak di KLIA,'' kata beliau.

 

''Sememangnya, pembukaan sempadan negara ini amat penting untuk proses pemulihan ekonomi negara. Sebelum pandemik COVID-19, pelancongan antarabangsa menyumbang hampir RM90 billion kepada ekonomi kita setiap tahun,'' ujar Muhyiddin.


 

Muhyiddin

 

Muhyiddin

 


MPN berharap Kerajaan mempergiatkan lagi promosi strategik industri pelancongan di peringkat antarabangsa. Pengembara-pengembara antarabangsa memerlukan jaminan bahawa Malaysia selamat, terkawal “and is open for business”serta sistem kesihatan kita merupakan antara yang terbaik di dunia, sekiranya berlaku sebarang kemudaratan ketika di sini.

 

''Promosi pelancongan harus lebih kreatif dengan mengambil kira medium komunikasi yang pelbagai dan menitikberatkan aspek keselamatan dan kesihatan awam,'' kata Muhyiddin.- DagangNews.com