MPOA kecewa senarai permintaan bagi Belanjawan 2024 tidak dipenuhi | DagangNews Skip to main content

MPOA kecewa senarai permintaan bagi Belanjawan 2024 tidak dipenuhi

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 Okt - Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA) menyuarakan kekecewaan selepas senarai permintaan yang 'digariskan dengan teliti' bagi Belanjawan 2024 tidak dimasukkan ke dalam keutamaan kerajaan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif MPOA, Joseph Tek Choon Yee berkata, rayuan belanjawan yang tidak dijawab persatuan itu menggariskan kebimbangan yang semakin meningkat bahawa sumbangan besar industri kepada ekonomi Malaysia mungkin tidak mendapat "perhatian dan sokongan yang diperlukan" bagi 2024.

 

Menurut persatuan itu, senarai permintaannya termasuk gesaan mengkaji semula secara menyeluruh levi keuntungan luar biasa (WPL) yang dikenakan ke atas sektor komoditi sejak 1999, khususnya meringankan beban tidak seimbang ke atas penanam kelapa sawit di Sabah dan Sarawak.

 

“Persatuan itu juga menekankan keperluan mendesak untuk jejak ketara penanaman semula dipercepatkan atau diperhebatkan bagi pokok kelapa sawit yang sudah tua, dan menyokong insentif cukai untuk menyokong usaha ini.

 

"Rayuan utama adalah saiz tapak dan kepantasan bagi penanaman semula," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

MPOA juga mencadangkan meningkatkan mekanisasi perladangan, mengkaji semula mekanisme levi pelbagai peringkat, dan memupuk perkongsian dengan kerajaan untuk menangani peranan sektor itu dalam peralihan tenaga negara, dan komitmennya terhadap pematuhan perubahan iklim, alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dan kebolehkesanan.

 

Menerusi Belanjawan 2024, kerajaan memperuntukkan RM100 juta sebagai insentif tanam semula, bagi mengelak kelapa sawit tua daripada mencapai 560,000 hektar menjelang 2027. Insentif itu bagaimanapun akan ditawarkan sebagai geran dan pinjaman kepada 7,000 pekebun kecil swasta.

 

Menjawab perkara ini, Joseph berkata, insentif itu dijangka hanya menangani sebahagian kecil daripada keperluan penanaman semula kritikal negara.

 

“Peruntukan bantuan RM100 juta khusus untuk 7,000 pekebun kecil sawit bebas hanya akan diterjemahkan kepada penanaman semula antara 5,000 dan 6,000 hektar kawasan kelapa sawit,” katanya.

 

Jospeh berkata, peruntukan itu hanya akan memenuhi keperluan untuk menanam semula tapak penanaman semula yang rendah iaitu 0.9% daripada pokok tua, kerana terdapat 560,000 hektar ladang dengan pokok berusia 25 tahun dan lebih tua dalam masa tiga tahun.

 

Beliau berkata bahawa MPOA sebelum ini menggesa kerajaan untuk menyediakan sokongan cukai penanaman semula kepada sektor swasta, yang dihujahnya akan membantu merangsang jejak penanaman semula yang lebih pantas dan lebih besar di seluruh industri.

 

Mekanisme ini termasuk penanaman semula kelapa sawit di bawah elaun pelaburan semula (RA) sekarang, membenarkan penggunaan RA terhadap pendapatan berkanun masa depan syarikat, sekali gus menggalakkan pelaburan yang lebih besar oleh sektor swasta, katanya.

 

“Pada asasnya, pembiayaan untuk penanaman semula akan diperoleh daripada sektor swasta, walaupun ia akan diterjemahkan kepada pengurangan hasil cukai dalam jangka pendek, tetapi dengan prospek pulangan cukai yang jauh lebih tinggi pada masa hadapan berikutan peningkatan produktiviti,” kata Joseph.

 

Mengenai gesaan untuk mengkaji semula WPL bagi sektor minyak sawit, yang tidak diendahkan oleh kerajaan untuk Bajet 2024, Joseph menyatakan bahawa ia membebankan sektor minyak sawit, yang beroperasi sebagai "pengambil harga dan bukan pembuat harga".

 

Menurut MPOA, ia juga sebelum ini menggesa kerajaan untuk mengakui bahawa cukai jualan negeri yang ditanggung di Sabah dan Sarawak secara tidak seimbang membebankan penanam kelapa sawit di sana berbanding rakan sejawatan mereka di Semenanjung Malaysia.

 

Oleh itu, persatuan itu menggesa kerajaan mengembalikan semula WPL kepada 1.5% asal bagi penanam kelapa sawit di Sabah dan Sarawak, daripada 3%.- DagangNews.com