Penubuhan kilang perintis dan kemudahan makmal akan membantu memperhebatkan usaha MPOB untuk pengkomersialan.
KUALA LUMPUR 5 Nov – Pengilang dan pengeluar produk minyak dan lemak harus memanfaatkan kemudahan loji rintis dan makmal canggih Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan juga kepakaran penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam pembuatan minyak dan lemak.
Ketua Pengarah MPOB, Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, MPOB telah melabur dengan banyak dalam loji-loji rintis tersebut yang kebanyakannya terletak di ibu pejabatnya, Bangi.
Katanya, penyelidik MPOB menawarkan kepakaran mereka dalam pembangunan produk makanan berasaskan minyak sawit dari aspek formulasi, pemprosesan dan pemeliharaan semasa penyimpanan dan pengangkutan.
"Di samping itu, kepakaran mereka termasuk memperbaiki produk berasaskan minyak sawit bagi pengeluar yang sedia ada.
“Loji perintis dan kemudahan makmal MPOB juga disewakan kepada pengeluar untuk penyediaan sampel produk makanan berasaskan minyak sawit untuk pengembangan pasaran atau percubaan formulasi baru atau menambahbaik formulasi.
"Kemudahan ini juga berguna untuk pengeluar minyak dan lemak untuk memformulasikan dan pengoptimuman proses,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Loji rintis Perfector mampu menghasilkan marjerin berasaskan minyak sawit, termasuk marjerin meja lembut, marjerin bata, marjerin kek, dan marjerin untuk pastri, lelemak cecair dan pepejal serta ghee sayur-sayuran.
"Pengilang makanan dari Syria, Pakistan, India, Turki, dan Sweden telah menggunakan formulasi makanan berasaskan minyak sawit yang dibangunkan oleh penyelidik kami.
"Formulasi ini terutamanya adalah produk seperti marjerin, minyak kelapa sawit, minyak sayur, ghee sayur (Vanaspati), pengganti lemak haiwan dan lemak konfeksi,” tambah beliau.
MPOB juga mengadakan kursus praktikal pembuatan marjerin untuk peserta tempatan dan asing, yang memberikan mereka pengalaman langsung dalam menggunakan formulasi minyak sawit untuk pelbagai produk lemak.
Ahmad Parveez berkata, penubuhan kilang perintis dan kemudahan makmal akan membantu memperhebatkan usaha MPOB untuk pengkomersialan dan meningkatkan mekanisma dan infrastruktur yang sedia ada yang dapat meningkatkan hubungan dengan industri dan bakal pengguna pada masa akan datang.
Katanya, MPOB sedang dalam proses membangunkan kemudahan dan perkhidmatan R&D untuk industri kecil dan sederhana (IKS) dan syarikat pemula dalam teknologi di Malaysia yang seterusnya dapat menjadi ejen untuk menceburi pasaran yang lebih besar.
"Loji rintis ini juga merupakan salah satu strategi untuk merealisasikan potensi penuh MPOB sebagai agensi pembangunan dan penyelidikan yang menjadi pelopor dalam beberapa inovasi dan mempunyai rekod
prestasi yang cemerlang," jelasnya. - DagangNews.com