MPV, V Safe lancar program ELS atasi isu hartanah tidak terjual | DagangNews Skip to main content

MPV, V Safe lancar program ELS atasi isu hartanah tidak terjual

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 11 Okt - MPV Capitals Ltd. (MPV) dan V Safe Capital Sdn Bhd (V Safe) menjalin kerjasama bagi melancarkan program Easy Lending Solution (ELS).

 

Menerusi kerjasama itu, MPV menyediakan kepakaran dan penyelesaian untuk masalah yang dihadapi dalam pasaran hartanah semasa, manakala V Sage akan menyokong dengan memasarkan program itu kepada pelanggan. 

 

Mengikut statistik Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta, semenjak H1 2022, jumlah hartanah yang tidak terjual di Malaysia bernilai RM50.09 bilion. Bagi pangsapuri berservis dan kediaman bertingkat masing-masing menyumbang RM26.97 bilion dan RM21.73 bilion.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MPV, David Hew Chee Seng berkata, beliau yakin program ELS yang baru dilancarkan bersama program Rent2Own akan mengurangkan masalah hartanah yang tidak terjual di Malaysia serta menarik pelabur asing. 

 

Beliau berkata, MPV sedang menyediakan penyelesaian bagi masalah terutamanya bahagian hartanah mewah yang tidak terjual.

 

"Program ini akan menarik pelabur yang berminat untuk memiliki aset hartanah melalui amanah sambil menjana pendapatan dalam negara dengan pemaju dengan melibatkan aset Malaysia yang menarik dan berpatutan berbanding negara lain di rantau ini.

 

"Selain itu, Kerajaan Malaysia mengumumkan dalam Bajet 2022 pada 20 Oktober 2021 untuk penghapusan Cukai Keuntungan Harta Tanah (RPGT) bagi rakyat Malaysia tempatan yang menjual hartanah mereka pada tahun keenam dan seterusnya.

 

"Penyingkiran sebahagian RGPT akan meliberalisasikan pasaran bagi pelabur dan pemilik rumah kedua untuk mengekalkan hartanah mereka. Ini akan menarik lebih ramai pelabur asing," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Terdahulu, MPV dan V Safe menandatangani memorandum persefahaman (MoU) melancarkan program ELS yang mana kedua-dua pihak bersama akan berusaha ke arah mempromosi program tersebut.

 

Sebagai permulaan, program itu akan memberi tumpuan kepada unit kediaman pada kawasan utama dan akan diperluaskan untuk merangkumi bahagian-bahagian komersial dan melibatkan hartanah di seluruh dunia pada masa hadapan. - DagangNews.com