MQ Research persoal sama ada sempadan negeri boleh dibuka serentak | DagangNews Skip to main content

MQ Research persoal sama ada sempadan negeri boleh dibuka serentak

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 29 Sept. - “Masih terdapat keraguan mengenai sama ada negeri-negeri yang ketinggalan dari segi kadar vaksinasi boleh kembali dibuka secara serentak.”

 

Itu pandangan firma penyelidikan, Macquarie Research (MQ Research) selepas mendapati kesemua negeri di Malaysia boleh mencapai sasaran vaksinasi 90% dalam tempoh 30 hari, kecuali Kedah, Perak, Sabah dan Terengganu. 

 

Walaupun sasaran vaksinasi 90% dicapai, namun firma itu menjelaskan bahawa negara memerlukan tempoh dua hingga tiga minggu untuk menilai dengan baik sekiranya suntikan vaksin cukup untuk menangani impak teruk daripada lonjakan jangkitan COVID-19. 

 

“Pembukaan semula ekonomi yang selamat dan mampan akan menjadi pemangkin utama kepada ekonomi serta pasaran ekuiti Malaysia. Ini bukan sahaja mendorong kepada perolehan korporat yang lebih luas, tetapi mengurangkan risiko bagi penguatkuasaan dasar yang berlebihan oleh kerajaan seperti pengecualian faedah dan cukai durian runtuh. 

 

“Namun, ia memerlukan dua hingga tiga minggu untuk menilai dengan baik jika vaksinasi cukup untuk menangani impak teruk sekiranya jangkitan COVID-19 melonjak sekali lagi. 

 

“Ini akan berlaku serentak dengan pengumuman Belanjawan 2022 akan datang iaitu pada penghujung Oktober, di mana kekal sebagai persimpangan risiko utama bagi dasar negara,” jelas firma itu dalam satu nota penyelidikan.

 

MQ Research kekal berhati-hati terhadap benefisiari pembukaan semula sempadan negara seperti industri penerbangan atau pelancongan yang bakal menyaksikan landasan pemulihan lebih panjang dan tidak menentu.

 

Kerajaan sebelum ini berhasrat untuk membenarkan aktiviti rentas negeri apabila negara mencapai kadar vaksinasi penuh mencecah 90%, yang dijangka berlaku sekitar bulan hadapan.

 

Setakat 28 September 2021, Malaysia telah mencapai kadar vaksinasi lengkap sebanyak 85.1%, dengan jumlah kes sembuh mencecah 14,160. 

 

Sepanjang minggu lalu, sekatan pergerakan berterusan dilonggarkan dengan restoran, kedai serbaneka, pasaraya mini dan stesen minyak dibenarkan beroperasi hingga tengah malam. - DagangNews.com