Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 21 Sept. - MR D.I.Y. Group (M) Berhad menawarkan potongan harga ke atas barangan keperluan termasuk pelitup dan pelindung muka bersempena kempen ‘Poket Selamat 7’.
Bermula 15 September lalu, perusahaan runcit itu menawarkan harga pelitup muka tiga lapisan pada kadar 90 sen lebih rendah kepada RM5 sementara pelindung muka ditawarkan pada nilai RM5.90 daripada RM7.90.
Naib Presiden Pemasaran MR D.I.Y., Andy Chin berkata, kempen tersebut dilaksanakan tepat pada waktunya ketika pejabat dan perniagaan mula dibuka semula dengan para pelajar dijangka bersedia untuk kembali ke sekolah menjelang Oktober depan.
“Kami mahu membantu rakyat untuk kekal selamat apabila mereka kembali bekerja dan ke sekolah, atau apabila mereka akan pergi melancong.
“Dengan mengurangkan harga barangan keperluan perlindungan secara kekal, kami berharap mereka akan mudah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) tanpa terbeban dengan kewangan,” katanya dalam satu kenyataan.
Kempen tersebut merupakan anjuran tahunan yang memberi diskaun mega ke atas produk popular, terlaris dan menerima permintaan tinggi.
Pada edisi ke-7 ini, kumpulan menawarkan diskaun sehingga 40% untuk 45 produk terpilih yang ditawarkan di 738 kedai MR D.I.Y. di seluruh negara, termasuk platform e-dagangnya.
Antara barangan terpilih termasuk perkakasan, barang elektrik, aksesori telefon bimbit dan kereta, produk isi rumah, alat tulis dan mainan, berkuatkuasa selama sebulan bermula 15 September 2021. - DagangNews.com