MR. DOLLAR tidak naikkan harga barang, kekal RM2 dan RM5 | DagangNews Skip to main content

MR. DOLLAR tidak naikkan harga barang, kekal RM2 dan RM5

Alex Goh (tengah) bersama kakitangan di hadapan premis MR DOLLAR
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 24 Mac - MR. DOLLAR hari ini menegaskan pendirian untuk tidak menaikkan harga barangan di cawangan-cawangannya kerana ia bertentangan dengan kepentingan pengguna untuk berbuat demikian buat masa ini.

 

Polisi harga tetap RM2 dan RM5 akan dikekalkan di lebih 50 cawangannya di seluruh negara.

 

Ketua Pemasaran MR D.I.Y. Group, Alex Goh berkata, rakyat Malaysia kini berdepan pelbagai tekanan dalam berbelanja untuk barangan makanan dan keperluan isi rumah, selain pandemik COVID-19 telah menjejaskan rantaian bekalan global. 

 

Beliau berkata, caj penghantaran dan pertukaran wang asing telah meningkat, kekurangan tenaga buruh dan perkembangan terkini di Rusia-Ukraine telah menyebabkan harga minyak naik mendadak. 

 

"Semua ini telah memberi kesan berganda kepada harga barangan dan kami faham, ramai peniaga yang terpaksa menaikkan harga agar perniagaan mereka dapat bertahan.

 

“Namun begitu, sebagai jenama kelahiran Malaysia dan peruncit perkakas rumah terbesar di negara ini, kami ingin memainkan peranan untuk menunda kenaikan harga selama yang mungkin untuk membantu rakyat Malaysia. 

 

 

mrdollar

 

 

"Dengan hubungan langsung bersama para pengilang dan pembekal, ekonomi skala 900 cawangan kumpulan kami di seluruh negara serta penggunaan disiplin data dan analisis yang ketat, kami telah dapat menangani kebanyakan impak ini tanpa perlu memindahkan kos kepada para pelanggan," katanya dalam satu kenyataan.

 

Menurut Alex, penting untuk rakyat Malaysia mempunyai kedai harga tetap yang boleh diharapkan untuk memberi mereka ketenangan minda agar ahli keluarga dan orang yang tersayang boleh mendapatkan apa yang diperlukan tanpa perlu berbelanja lebih. 

 

"Kami percaya ini kenaikan harga buat masa sekarang bertentangan dengan kepentingan pengguna," katanya.

 

Beliau berkata, susulan kenaikan harga barangan, syarikat tersebut menyedari bahawa rakyat Malaysia sentiasa mencari kedai konsep harga tetap untuk mendapatkan barangan keperluan harian mereka. 

 

“Pengguna hari ini semakin pintar. Dengan bermulanya sesi persekolahan dan kedatangan Ramadan dan Hari Raya, mereka membuat kajian dan sering mencari lebih nilai. MR. DOLLAR telah dilancarkan pada tahun 2020, semasa negara bertarung dengan kemuncak pandemik. 

 

"Walaupun dengan perintah kawalan pergerakan, pelanggan menyedari bahawa mereka boleh mendapatkan lebih nilai untuk wang ringgit dengan membeli-belah di kedai-kedai harga tetap seperti MR. DOLLAR. Kaji selidik kami mendapati bahawa pengguna masih mencari lebih nilai dan kami juga sedang mengalami pertumbuhan yang pesat," katanya. - DagangNews.com