MRL: Tiada perubahan kerjasama dengan China Communications Construction Company Ltd (CCCC) dalam pembinaan ECRL | DagangNews Skip to main content

MRL: Tiada perubahan kerjasama dengan China Communications Construction Company Ltd (CCCC) dalam pembinaan ECRL

Kerja-kerja pemasangan landasan ECRL di kawasan Dungun, Terengganu
oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 12 Julai - Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) ingin menegaskan semula bahawa tiada perubahan pada rancangan kerjasama dengan China Communications Construction Company Ltd (CCCC) pasca pembinaan seperti yang dimeterai dalam Memorandum Persefahaman (MoU) untuk fasa pengurusan, operasi, dan penyelenggaraan (MOM) ECRL pada April 2019.

 

Pelan ini juga selaras dengan kenyataan Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook baru-baru ini semasa Sesi Kamar Khas Parlimen di mana beliau memaklumkan MRL dan CCCC akan berkongsi kos untuk operasi ECRL serta memudahkan pertukaran pengetahuan teknikal dan kepakaran.

 

MRL ialah pemilik projek ECRL manakala CCCC ialah kontraktor kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) projek tersebut.

 

Untuk operasi ECRL seterusnya, sebuah syarikat usaha sama antara MRL dan CCCC akan ditubuhkan. Perjanjian Pemegang Saham antara MRL dan CCCC untuk penubuhan syarikat usaha sama bagi mengambil peranan sebagai Syarikat Operasi (OpCo) ECRL akan dimuktamadkan pada tahun ini.

 

MRL dan CCCC masing-masing akan menanggung 50 peratus daripada risiko dalam OpCo jika ECRL beroperasi dengan defisit, manakala MRL akan menerima 80 peratus daripada pendapatan dan CCCC akan menerima baki 20 peratus pendapatan sekiranya ECRL beroperasi dengan surplus.

 

 

ecrl
Kerja-kerja pemasangan landasan ECRL di kawasan Paka, Terengganu

 

 

MRL juga ingin menyatakan ia telah dilantik sebagai Syarikat Pemilik Aset ECRL oleh Kerajaan Malaysia, selaras dengan rancangan yang telah ditetapkan pada April 2019.

 

"Ini akan memberi ruang bagi MRL untuk menandatangani Perjanjian Operasi dengan OpCo bagi membolehkan OpCo mendapat akses kepada aset ECRL untuk operasi dan penyelenggaraan.

 

"Sehubungan itu, MRL ingin menyatakan bahawa ia akan memiliki sepenuhnya aset ECRL bagi pihak Kerajaan sebagai Syarikat Pemilik Aset ECRL sepanjang fasa operasi ECRL. Oleh itu, Kerajaan Malaysia akan memiliki 100 peratus daripada semua aset ECRL melalui MRL, memandangkan syarikat ini adalah anak syarikat milik penuh Menteri Kewangan (Diperbadankan)[MOF(Inc.)]," kata MRL dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Projek ECRL sepanjang 665-km dijadualkan siap dari Kota Bharu, Kelantan ke Terminal Bersepadu Gombak, Selangor pada Disember 2026, dan akan mula beroperasi pada Januari 2027.

 

Penyiapan sepenuhnya yang melibatkan sambungan rel dari Gombak ke Port Klang dijangka siap setahun kemudian pada Disember 2027. - DagangNews.com