MSM dijangka terus catat kerugian, kata CGS-CIMB | DagangNews Skip to main content

MSM dijangka terus catat kerugian, kata CGS-CIMB

MSM Malaysia Holdings Bhd. (MSM)

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 9 Sept. - MSM Malaysia Holdings Bhd. (MSM) dijangka terus mencatatkan kerugian yang turut mempengaruhi keupayaan mencari pihak sesuai (suitor) mengendalikan perniagaanya.

CGS-CIMB Research berkata, jangkaan tersebut juga dinilai berdasarkan kebimbangan terhadap tahap pengoperasian kilang di Johor yang rendah serta prestasi pengurusan yang lemah.

"Kami jangkakan MSM akan terus mencatatkan kerugian.

"Berikutan itu, kami kekalkan penarafan "penurunan" harga sasaran sesaham (TP) syarikat berkenaan pada RM0.55," kata CGS-CIMB Research.

Tambah CGS-CIMB Research, jangkaan yang dibuat itu merupakan ramalan pihaknya susulan isu ketidakseimbangan inventori yang berlaku disebabkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Khairil Anuar Aziz seperti dilaporkan Bursa Malaysia semalam.

Beliau diberi tujuh hari cuti bermula semalam untuk menjawab soal ketidakseimbangan yang dikaitkan dengan inventori MSM Sugar Refinery (Johor) Sdn. Bhd.

Menurut MSM, masalah ketidakseimbangan inventori yang berlaku itu tidak mempengaruhi pendapatan tahun semasa pada tahun kewangan 2019.

Bagaimanapun, CGS-CIMB Research memberitahu perkara tersebut turut memberi kesan kepada penurunan nilai inventori pada tahun 2019 yang berjumlah RM50 juta.

Dalam Laporan Tahunan MSM 2019, kumpulan tersebut mendedahkan syarikatnya mengalami kerugian sebanyak RM49.4 juta disebabkan oleh inventori yang diturunkan ke nilai bersih yang direalisasikan dan RM1.5 juta daripada inventori yang dihapuskan pada 2019.

"Walaupun isu berkenaan dikatakan tidak mempengaruhi prestasi pendapatan bagi tahun 2020, tetapi kami memberi perspektif negatif kerana isu berkenaan turut memberi kesan kepada kerajaan dan pihak pengurusan MSM yang terdahulu.

"Ini adalah kali kedua MSM menghadapi masalah membabitkan CEO mereka sejak beberapa tahun kebelakangan ini," tambah CGS-CIMB Research. - DagangNews.com