SEBERANG PRAI 6 Jun – Sempena sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia 2022, MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM) melalui anak syarikat milik penuhnya, MSM Prai Berhad (MSM Prai) menanam sebanyak 200 pokok bakau di Pusat Pendidikan Kecil Hutan Paya Laut, Sungai Acheh, Nibong Tebal, Pulau Pinang.
Program penanaman pokok bakau dengan kerjasama strategik bersama Jabatan Alam Sekitar Pulau Pinang (JAS) dan Persatuan Kebajikan Nelayan-nelayan Pantai Pulau Pinang (PIFWA) pada 5 Jun 2022, adalah usaha berterusan daripada acara tahun lepas, di mana 700 anak pokok bakau telah ditanam dipersisir kilang MSM Prai.
Ketua Pegawai Eksekuitf Kumpulan MSM, Syed Feizal Syed Mohammad berkata, tahun ini, MSM Prai bersedia untuk menanam 1,000 pokok bakau secara berperingkat di kawasan khusus untuk penanaman pokok dan bakau di Pulau Pinang.
Menurutnya, penanaman pokok bakau ialah pendekatan mesra alam yang berkesan dengan faedah dalam pemuliharaan ekosistem yang luas termasuk melindungi kualiti air, menstabilkan tebing sungai, memupuk habitat ikan dan penyumbang kepada mitigasi perubahan iklim.
“MSM kekal teguh dalam usaha untuk memastikan program kemampanan dan rangka kerja Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) kami mencapai matlamatnya dan hasil terbaik dalam jangka masa panjang.
"MSM benar-benar komited untuk memenuhi komitmen ESG dan melangkah lebih jauh dengan melantik Juara ESG dalam kalangan Warga MSM untuk memacu dan menyokong usaha ESG Kumpulan MSM.
"Ini adalah bukti bahawa setiap individu di MSM memainkan peranan aktif dalam mengimbangi keperluan antara operasi perniagaan dan memelihara alam sekitar,” kata beliau dalam kenyataan di sini.
Selain daripada menanam pokok bakau, MSM Prai Berhad turut menyumbang dana kepada Pusat Pendidikan Hutan Bakau untuk kerja-kerja pembaikan gerbang pintu masuk dan titi laluan.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Pengarah JAS Pulau Pinang, Azman Shah Ismail; Ketua Pegawai Operasi Kumpulan MSM, Hasni Ahmad; Ketua Operasi MSM Prai, Cheah Poh Lye; Presiden PIFWA, Ilias Shafie, pengurusan kanan Kumpulan MSM serta pelajar Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Kampus Bertam, Pulau Pinang.
Sebagai warga korporat yang bertanggungjawab, MSM didorong untuk membawa impak positif kemampanan melalui pelbagai inisiatif dan bercita-cita untuk mencapai kecemerlangan dalam kemampanan dengan menyepadukan amalan lestari ke dalam setiap aktiviti perniagaan.
MSM merancang untuk mencapai sifar bersih beberapa tahun lebih awal daripada garis masa yang ditetapkan iaitu pada 2050 melalui sasaran berasaskan sains seperti tenaga boleh diperbaharui seperti menggunakan solar, kitar semula CO2 yang dikeluarkan semula ke dalam proses pembuatan, dengan mengambil kira penggantian bahan api fosil untuk kenderaan pengangkutan yang akhirnya akan membuat impak yang ketara dalam mengurangkan pelepasan gas rumah hijau untuk kumpulan.
Bagi memastikan sebarang isu berkaitan ESG dan kemampanan dalam Kumpulan MSM ditangani dengan sewajarnya, MSM mengalu-alukan mana-mana pihak berkaitan, pihak berkepentingan dalaman dan luaran untuk mengemukakan isu tersebut di [email protected]. - DagangNews.com