MT UMNO sebulat suara Ismail Sabri jadi calon Perdana Menteri PRU15 | DagangNews Skip to main content

MT UMNO sebulat suara Ismail Sabri jadi calon Perdana Menteri PRU15

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR 14 April - Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sebulat suara memutuskan untuk Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi calon Perdana Menteri pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

 

Dalam satu kenyataan, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata kesepakatan itu ialah antara beberapa perkara diputuskan pada Mesyuarat MKT yang dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, hari ini.

 

"Mesyuarat MKT pada petang tadi membuat beberapa ketetapan, termasuk mengenai kedudukan Memorandum Persefahaman (MOU) antara Kerajaan Persekutuan dengan Pakatan Harapan (PH). MoU yang akan berakhir 31 Julai depan itu diputuskan tidak akan diteruskan lagi.

 

"Selain itu, pembentangan Akta Antilompat Parti mesti diteruskan dan disokong untuk diluluskan tanpa berkompromi dengan gesaan mana-mana pihak yang cuba menggagalkan mahupun cubaan untuk merubah maksudnya kepada bentuk perundangan yang lain.

 

"UMNO berpendirian bahawa Akta Antilompat Parti mesti segera direalisasikan sebagai satu manifestasi untuk memastikan hak pengundi sentiasa terpelihara dan dihormati," katanya. 

 

Seterusnya bagi melaksanakan keputusan sebulat suara usul Perhimpunan Agung UMNO 2021, Ahmad berkata, satu Perhimpunan Agung UMNO Khas akan diadakan pada 14 Mei depan.

 

Beliau berkata, ia bagi melakukan pindaan terhadap Perlembagaan UMNO mengenai tempoh pemilihan parti.

 

Pada hari sama, katanya, Sambutan Hari UMNO dan Jamuan Aidilfitri akan turut diadakan. - DagangNews.com