MTD diumum pemenang utama Toyota Eco Youth ke-20 | DagangNews Skip to main content

MTD diumum pemenang utama Toyota Eco Youth ke-20

 

SHAH ALAM 3 Jun - Maktab Tentera Diraja (MTD) menerusi pembentangan projek bertajuk We-Sea-It Smart Tool diumumkan sebagai pemenang tempat pertama Edisi ke-20 program Toyota Eco Youth (TEY)  yang disertai sekolah-sekolah menengah seluruh Malaysia.

 

Keseluruhannya terdapat 16 pasukan terlibat dalam program yang telah dikemaskini format penganjuran serta pembentangannya akibat penularan wabak COVID-19 sejak lebih setahun lalu.

 

Susulan fasa akhir penilaian selepas setiap daripada 10 peserta akhir melakukan saran idea
masing-masing melalui pembentangan secara langsung pada 29 Mei 2021, pasukan yang menang
pun dipilih.

 

Senarai penuh pemenang ialah seperti berikut :

1. Maktab Tentera Diraja, Kuala Lumpur (We-Sea-It Smart Tool)
2. SMAP Labu, Negeri Sembilan (UCOnverter Smart Tool)
3. SMK Kubang Kerian, Kelantan (Recybin App)
4. SMK Chung Hua, Sarawak (Recyclo Smart Tools)
5. SMJK Katholik, Selangor (MOSS AFV Smart Tools).

 

Sementara itu, SMK Saujana Utama, Selangor pula memenangi Penglibatan Komuniti Terbaik dan seorang guru, Cikgu Noor Liyana Shamsudin dari Maktab Tentera Diraja telah dianugerahkan sebagai Guru
Sokongan Terbaik.

 

TEY
Cikgu Noor Liyana Shamsudin dari Maktab Tentera Diraja

 

Tiga pelajar juga dipilih sebagai Agen M Terbaik. Mereka ialah Hani Nabila dari SMAP Labu, Negeri Sembilan; Lim Bo Jing dari SMJK Katholik, Selangor dan Muhammad Uwais Darwis dari SMK Majakir, Sabah.

 

Untuk tahun 2021, jumlah hadiah wang tunai telah digandakan menjadi RM64,000 untuk lebih menghargai kepintaran dalam kalangan belia. Tahun ini, pasukan yang menang akan menerima RM20,000 tunai, diikuti dengan RM15,000 bagi tempat kedua; RM10,000 bagi tempat ketiga; RM7,000 bagi tempat keempat dan RM5,000 bagi tempat kelima.

 

Bagi hadiah Guru Sokongan Terbaik pula berupa RM3,000 manakala RM1,000 diberikan masing-masing bagi Penglibatan Komuniti Terbaik serta Agen M Terbaik.

 

Penularan wabak COVID-19 dan keterhadan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (MCO) telah membawa bersama cabaran baru kepada penganjur. Sejak mula, aktiviti yang ada melibatkan interaksi secara berdepan, namun keperluan untuk memastikan jarak sosial dan melindungi sesama sendiri bermaksud pendekatan ini tidak boleh lagi digunakan.

 

Untuk itu, semua aktiviti dipindahkan ke dalam talian melalui sesi pembelajaran elektronik dan bengkel. Di dalam semua sesi tersebut, peserta dilatih dengan kemahiran pengurusan projek yang memanfaatkan Kaedah Penyelesaian Masalah cara Toyota.

 

Pendekatan baru pembelajaran elektronik ini, yang dijalankan selama beberapa bulan, terbukti berjaya dan akan diterapkan ke dalam program-program akan datang.

 

Program tahun ini mengenakan tema "Reimagining Mobility", dengan semangat inklusif dan kebebasan idea sebagai asasnya, sekaligus mencadangkan penghasilan mobiliti yang selamat dan mesra alam.

 

Majlis penutup diadakan secara langsung melalui platform maya dengan Penolong Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Operasi Sekolah), Kementerian Pendidikan, Dato’ Adzman Talib sebagai tetamu kehormat. Turut hadir ialah Pengarah Pemasaran, UMW Toyota Motor, Mohd Shamsor Mohd Zain serta wakil-wakil lain dari Kementerian Pendidikan serta UMW Toyota Motor.

 

Dalam ucapannya, Dato’ Adzman memuji usaha UMW Toyota kerana telah berjaya menganjurkan TEY secara berterusan sejak tahun 2001.

 

"Saya ingin meluahkan penghargaan tidak terhingga kepada UMW Toyota Motor di atas usaha mereka untuk menganjurkan program yang penuh makna ini, dalam mendidik belia setiap tahun serta usaha yang tidak kenal penat lelah untuk membangkitkan kesedaran terhadap pentingnya pemuliharaan alam sekitar dan habitat kita," ujarnya.

 

"Program TEY tahun ini mencerminkan kemampuan generasi baru untuk beradaptasi dengan kemajuan teknologi dan mengambil pendekatan inovatif dalam menyelesaikan masalah alam sekitar. Latihan asas iaitu kaedah Penyelesaian Masalah Toyota dijalankan secara maya dan saya bangga untuk menyatakan bahawa semua pelajar sangat terbuka dengan peralihan itu," jelas Mohd Shamsor.

 

"Sepanjang program, dengan panduan daripada guru dan mentor, para peserta sempat mempelajari tentang semangat berpasukan, keyakinan, komunikasi, kemahiran pembentangan, dengan kesemuanya menjurus kepada pengalaman pembelajaran yang lebih holistik," tambah beliau.

 

Pembentangan menyeluruh 16 pasukan terlibat dimuat turun ke saluran media sosial untuk capaian umum. Sebagai tambahan, setiap pasukan juga mempunyai episod podcast yang dimuatkan dalam saluran khas di dua platform — Agency di Leaderonomics FM dan di TEY Channel.

 

"Bagi semua pemenang, program berkenaan masih belum selesai, sama seperti tahun-tahun sebelumnya. Jangka masa program kini menjadi tiga tahun dan pemenang bagi edisi 2020/2021 akan terus bertindak selaku pemudahcara bagi kumpulan peserta tahun berikutnya.

 

"Mereka akan menyumbang pengalaman terhadap peserta seterusnya. Dalam masa sama, pendigitalan TEY kini melangkah setakuk lagi ke hadapan dengan adanya kelab dalam talian TEY Apprentice," kata Toyota.

 

Program Toyota Eco Youth (TEY) bermula sejak 20 tahun lalu dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia. Dalam tempoh dua dekad, pesertanya telah melibatkan 258 sekolah dan 1,910 sekolah menengah serta 762 guru.

 

Setiap tahun, tema-tema menarik dan mencabar diberikan, dan peserta perlu hadir dengan penyelesaian inovasi menarik dengan cadangan yang boleh diaplikasikan di dalam lingkungan sekolah atau komuniti mereka.

 

Lebih RM7 juta telah dibelanjakan oleh UMWT untuk menjayakan projek tahunan ini.

 

"Toyota Eco Youth merupakan acara unik bagi Toyota, kerana ia hanya dianjurkan di Malaysia. Toyota Motor Corporation dan UMW Toyota Motor sangat berbangga untuk memainkan peranan dalam memupuk kesedaran alam sekitar serta pemikiran inovatif generasi muda.

 

"Adalah melegakan untuk tahu bahawa generasi akan datang sudah bersedia untuk berdepan dengan cabaran-cabaran baru yang bakal muncul nanti, dalam usaha kita untuk menjadikan bumi ini tempat yang lebih baik untuk semua," ujar Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor, Akio Takeyama. - DagangNews.com