KUALA LUMPUR 12 Julai - Metronic Global Berhad (Mtronic) mengumumkan Sinaran PPA Sdn Bhd (Sinaran PPA), sebuah syarikat usaha sama baharu antara Metronic dan Earthtech Sdn Bhd, telah memeterai 2 perjanjian pembelian kuasa dengan kedua-dua kontrak terletak di Kedah bernilai RM50 juta berkapasiti 4,121 kWp untuk tempoh 25 tahun, pada 13 Januari 2022.
Menurut kedua-dua perjanjian pembelian kuasa ini, pembinaan dan pemasangan kemudahan PV solar dijangka siap pada suku keempat 2022 dengan permulaan operasi sejurus selepas itu.
Dalam hal ini kata Mtronic, rancangan Kumpulan untuk menceburi Perniagaan Tenaga Suria adalah berdasarkan pandangan dan prospek yang menggalakkan untuk industri PV solar di Malaysia.
"Pendapatan berulang jangka panjang yang akan dijana daripada pajakan tenaga elektrik yang dijana daripada kemudahan PV solar kepada pemilik tapak di bawah aktiviti pajakan solar yang akan dijalankan oleh Sinaran PPA juga dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan masa hadapan Kumpulan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Selain daripada 2 kontrak pajakan solar yang dinyatakan di atas, Sinaran PPA sedang dalam rundingan mengenai potensi kontrak pajakan solar dengan pemilik bangunan di pelbagai lokasi di Selangor, Kedah, Pulau Pinang dan Perak dengan jumlah cadangan saiz 29,260 kWp dan anggaran jumlah nilai kontrak RM300 juta untuk tempoh 25 tahun.
Menurut Terbitan Hak terkini Mtronic pada harga terbitan RM0.06 dengan waran percuma (Mtronic-WB) berdasarkan 6 saham hak bersama 2 Mtronic-WB untuk setiap 1 saham Mtronic sedia ada yang dipegang oleh pemegang saham pada 10 Jun 2022 (Terbitan Hak), Mtronic telah mengumumkan pada 5 Julai 2022 bahawa Terbitan Hak tersebut telah dilanggan 99.88% dan berjaya mengumpul RM77.97 juta.
Dengan selesainya Terbitan Hak, Mtronic telah mengumpul dana yang diperlukan untuk Sinaran PPA memulakan perniagaan solar.
"Hasil ini akan digunakan untuk membiayai pemerolehan bahan, jentera dan pentauliahan bangunan kilang serta menyediakan Sinaran PPA untuk melaksanakan kontrak 29,260 kWp lagi," kata Mtronic.
Menurut syarikat itu, dana tersebut juga dijangka mengukuhkan kedudukan kewangan Sinaran PPA pada masa hadapan sekali gus membolehkannya mendekati lebih ramai pelanggan berpotensi untuk kontrak pajakan solar pada masa hadapan. - DagangNews.com