KUALA LUMPUR 12 April - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa kerajaan menangguhkan kemasukan 500,000 pekerja asing dari Bangladesh yang dijangka tiba secara berperingkat bulan ini bagi memberi laluan kepada kajian impak terhadap pekerja tempatan susulan pengambilan itu.
Setiausaha Agung MTUC, Kamarul Baharin Mansor berkata, kerajaan seharusnya mengambil kesempatan dalam tempoh pandemik COVID-19 sejak dua tahun lalu untuk melaksanakan kajian teliti ke atas persediaan pekerjaan tempatan dalam menggantikan pekerja asing.
Katanya, kemasukan 500,000 pekerja asing akan menyebabkan aktiviti buruh paksa tidak dapat dikawal dan memberi kesan kepada ekonomi Malaysia sehingga berlakunya penutupan operasi syarikat serta menyebabkan pekerja tempatan hilang pekerjaan.
“MTUC membantah kemasukan pekerja Bangladesh seramai 1.5 juta pada 2015 dengan alasan sama, iaitu permintaan syarikat. MTUC mencadangkan pada masa itu supaya kita fokus kepada melatih pekerja tempatan dan menaikkan gaji bagi menarik minat anak tempatan.
“Selepas tujuh tahun berlalu, kerajaan masih gagal menarik minat pekerja tempatan dan menangani isu kekurangan pekerja atau sememangnya kemaruk majikan terhadap pekerja asing bagi memudahkan eksploitasi pekerja asing sehingga Malaysia dikategorikan sebagai negara buruh paksa,” katanya dalam kenyataan.
Sebelum ini, Menteri Sumber Manusia M Saravanan memaklumkan bahawa Malaysia dijangka menerima kemasukan 500,000 pekerja asing Bangladesh mulai bulan ini.
Ia susulan Malaysia dan Bangladesh memeterai memorandum persefahaman (MoU) pada Disember lalu berhubung pengambilan pekerja negara itu untuk berkhidmat di negara ini berkuat kuasa selama lima tahun hingga Disember 2026.
Dalam pada itu, Kamarul turut mempersoalkan kesediaan kerajaan menambah pegawai Jabatan Tenaga Kerja (JTK) bagi pemantauan premis perniagaan susulan kemasukan 500,000 pekerja asing terbabit.
“Adakah bilangan pegawai JTK mencukupi sekarang?
“MTUC dimaklumkan antara sebab amalan buruh paksa berlaku adalah kerana kegagalan membuat pemeriksaan secara berkala susulan kekurangan pegawai pemeriksa di premis yang hanya berjumlah 400 orang sahaja,” katanya. - DagangNews.com