Muhammad Bakhtiar dilantik sebagai Pengerusi MyCreative baharu | DagangNews Skip to main content

Muhammad Bakhtiar dilantik sebagai Pengerusi MyCreative baharu

Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 10 Mac - Kumpulan MyCreative Ventures Sdn Bhd mengumumkan pelantikan Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik sebagai pengerusi baharu, berkuat kuasa hari ini. 

 

Dengan lebih daripada 34 tahun pengalaman dalam pengurusan kanan dan perancangan strategik, beliau menggantikan Noor Azmi Mat Said, yang baru menamatkan penggalnya selepas berkhidmat di MyCreative sejak dua tahun lalu.

 

Muhammad Bakhtiar berkata, beliau berbesar hati kerana telah diamanahkan untuk memegang peranan tersebut ketika industri kreatif melalui detik yang cukup penting. 

 

Katanya, dengan kemunculan idea-idea inovatif daripada artis tempatan pada era pasca-pandemik, ia adalah masa paling tepat untuk menjadi sebahagian daripada sektor yang dinamik ini. 

 

"Saya sangat teruja untuk bekerja bersama-sama dengan pasukan berbakat di MyCreative dan entiti-entitinya untuk menyokong serta meningkatkan idea-idea berwawasan ini dengan strategik. 

 

"Secara jangka panjang, sektor ekonomi jingga ini mempunyai potensi yang cukup positif dan ia akan memainkan peranan yang penting dalam menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, dengan unjuran sehingga RM31.9 bilion menjelang 2025. 

 

"Saya komited untuk bekerja keras dengan pasukan MyCreative bagi mencapai matlamat ini dan membantu memastikan kejayaan serta pertumbuhan industri kreatif yang berterusan," katanya dalam kenyataan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MyCreative, Junady Nawawi pula berkata, pihaknya teruja untuk bekerja bersama Muhammad Bakhtiar yang berpengalaman luas menerajui pembangunan dan perancangan strategik serta mempunyai minat tinggi terhadap seni, budaya serta warisan. 

 

Katanya, ini semua dapat membantu dalam usaha membawa usahawan dan penggiat seni tempatan ke peringkat global. 

 

"Kami yakin kepimpinan luar biasa Muhammad Bakhtiar dan komitmen beliau terhadap kecemerlangan akan membantu kami mencapai matlamat dan memacu pertumbuhan serta kejayaan industri kreatif di Malaysia.

 

"Lembaga Pengarah dan Pengurusan MyCreative ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Noor Azmi atas sumbangan beliau kepada pembangunan industri kreatif sebagai pengerusi sebelum ini. 

 

"Sepanjang tempoh perkhidmatan, beliau telah dikenali sebagai seorang pemimpin berpendirian dan bijaksana, tidak pernah gusar menghadapi keputusan sukar, membantu kami mengharungi salah satu masa paling mencabar dalam sejarah semasa era pandemik," katanya.

 

Pada usia 57 tahun, Muhammad Bakhtiar merupakan Ahli Parlimen Balik Pulau selama 2 penggal dan pada 2018, beliau telah dilantik sebagai Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya. - DagangNews.com