Muhibbah Engineering jangka raih hasil sehingga RM128 juta daripada cadangan terbitan hak   | DagangNews Skip to main content

Muhibbah Engineering jangka raih hasil sehingga RM128 juta daripada cadangan terbitan hak  

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 
nabila@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 10 Jan - Muhibbah Engineering (M) Bhd bercadang melaksanakan terbitan hak boleh lepas sehingga 256.91 juta saham hak bagi asas satu saham hak bagi setiap dua saham sedia ada yang dipegang syarikat pada tarik kelayakan yang akan ditentukan dan diumumkan kelak. 

 

Syarikat kejuruteraan minyak dan gas itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata, ia menyasar meraih hasil antara RM25.13 juta dan RM128.46 juta daripada terbitan hak tersebut.

 

Berdasarkan kepada harga terbitan indikatif 50 sen bagi setiap saham hak, syarikat itu bercadang memperuntukkan sehingga kira-kira RM96.69 juta daripada hasil kasar bagi pembayaran semula sebahagian daripada kemudahan kredit pusingan kumpulan tidak termasuk anak syarikat 58.60 peratus milik syarikat, Favelle Favco Bhd dan kumpulan syarikatnya.  

 

Sebanyak  RM30.87 juta akan digunakan bagi keperluan modal kerja am dan kira-kira RM900,000 untuk membiayai anggaran perbelanjaan berkaitan dengan cadangan terbitan hak saham.  

 

“Cadangan terbitan hak itu juga akan membantu kumpulan mengurangkan pergantungannya kepada perbelanjaan luaran seperti pinjaman bank, yang mungkin akan memberi tekanan kepada aliran tunai kumpulan bagi pembayaran balik prinsipal dan faedah pada masa depan,” katanya.  

 

Pada masa depan, Muhibbah Engineering berkata, lembaga pengarahnya yakin dalam berhati-hati kumpulan itu akan dapat menambah baik prestasi kewangannya dalam tempoh terdekat ini selepas mengambil beberapa langkah pengurangan kos, penyusunan semula, cadangan terbitan hak serta jangkaan pemulihan global daripada pandemik.

 

Syarikat itu mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM123.26 juta dalam tahun kewangan 2020 berbanding keuntungan bersih RM34.88 juta pada tahun kewangan 2019 dengan hasil susut kepada RM1.19 bilion daripada RM1.54 bilion sebelumnya.  

 

Muhibbah Engineering merupakan syarikat tersenarai awam di Papan Utama Bursa Malaysia dan merupakan syarikat pertama di Malaysia yang mencapai pensijilan ISO 9002 pada tahun 1995 dalam sektor pembinaan.

 

Kumpulan itu memberikan penekanan yang kuat terhadap kualiti dan keselamatan dalam setiap aspek operasi, dan juga syarikat pembinaan pertama di Malaysia yang mencapainya. 

 

Muhibbah terkenal sebagai peneraju dalam Pembinaan Marin; sejak penubuhannya pada tahun 1972. Kini, Muhibbah juga berdiri teguh dalam pelbagai disiplin Pembinaan Kejuruteraan, di dalam dan di luar negara. -DagangNews.com