Muhyiddin cadang ditubuhkan majlis pemulihan peringkat negeri, daerah | DagangNews Skip to main content

Muhyiddin cadang ditubuhkan majlis pemulihan peringkat negeri, daerah

 

PAGOH 26 Sept - Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyarankan agar ditubuhkan majlis pemulihan di peringkat negeri dan daerah bagi memudahkan segala bentuk usaha pemulihan.

 

Beliau berkata, penubuhan majlis yang sama di peringkat negeri membolehkan usaha pemulihan dapat diterima di peringkat akar umbi dengan lebih berkesan dan pantas.

 

Menurut beliau, penubuhan Majlis Pemulihan Negeri mungkin dipimpin Menteri Besar atau Ketua Menteri yang di bawahnya adalah jawatankuasa tindakan daerah yang sedia ada.

 

“Boleh kita bagi peranan lebih untuk melihat aspek pemulihan. Ini akan membantu kita mengetahui lebih dekat dan terperinci apa sebenarnya yang ada di bawah.

 

“Yang kita ambil di peringkat nasional ini bawa kesan sampai ke bawah dalam jangka masa yang tidak terlalu lama,” katanya seperti dipetik Astro Awani.

 

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan meninjau kehidupan pendudukan sekitar Pagoh pada Sabtu.

 

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh turut menghulurkan bantuan bakul makanan selain keperluan asas bagi penduduk yang menghadapi penyakit kronik selain meluangkan masa beramah mesra dengan peniaga di Pasar Tani Pagoh Jaya.

 

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, cadangan penubuhan Majlis Pemulihan Negeri itu akan dibincangkan dalam mesyuarat MPN, Isnin ini.

 

Kata beliau, hasil perbincangan itu akan dikemukakan dalam Kabinet untuk persetujuan Perdana Menteri.

 

Sekiranya dipersetujui, beliau berkata, pimpinan majlis berkenaan akan membantuk jawatankuasa tindakan di peringkat bawahan agar kesan pemulihan dapat dirasai rakyat bawahan.

 

Jelas beliau, pihaknya amat menyedari bahawa pandemik COVID-19 memberi kesan besar kepada ekonomi rakyat.

 

Justeru tegasnya, peranan pemimpin akar umbi amat penting untuk digerakkan dalam usaha memulihkan ekonomi rakyat. - DagangNews.com