Muhyiddin kekal Perdana Menteri, akan adakan undi percaya di Parlimen bulan depan | DagangNews Skip to main content

Muhyiddin kekal Perdana Menteri, akan adakan undi percaya di Parlimen bulan depan

Oleh JOHARDY IBRAHIM
editor@dagangnews.com
 

 

PUTRAJAYA 4 Ogos – Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan beliau masih memiliki sokongan mencukupi daripada Ahli Parlimen untuk kekal sebagai Perdana Menteri walaupun lapan Ahli Parlimen UMNO menarik diri daripada Perikatan Nasional.

 

Muhyiddin berkata, beliau telah menyembah maklum kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bahawa beliau menerima sejumlah surat akuan daripada Ahli-Ahli Dewan Rakyat yang meyakinkannya bahawa beliau masih mempunyai kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat pada masa ini.

 

“Sehubungan itu, peletakan jawatan saya di bawah Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan adalah tidak berbangkit,” kata Muhyiddin Dalam perutusan yang disiarkan secara langsung di media utama pukul 12.30 tengah hari ini.

 

Turut bersama beliau ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang merupakan Ahli Parlimen UMNO bagi kawasan Bera.

 

Muhyiddin berkata, beliau telah menyembah maklum kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bahawa beliau akan menentukan keabsahannya sebagai Perdana Menteri di Parlimen.

 

“Suatu usul undi percaya kepada saya akan dibentangkan di Dewan  Rakyat ketika Dewan Rakyat bersidang pada bulan September.

 

“Melalui cara ini, kedudukan saya sebagai Perdana Menteri dan Perikatan Nasional sebagai kerajaan yang memerintah akan dapat ditentukan mengikut lunas undang-undang dan Perlembagaan.

 

“Alhamdulillah, Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan cadangan saya ini,” kata beliau.

 

Perdana Menteri menyeru kepada semua penjawat awam, khususnya para frontliners, agar terus tabah melaksanakan tugas dan tanggungjawab tanpa terganggu dengan kemelut politik yang sengaja dicetuskan oleh pihak-pihak tertentu yang cuba menangguk di air yang keruh.

 

“Saya tahu bahawa mereka kurang senang dengan ketegasan saya untuk tidak melayan beberapa tuntutan mereka. Ini termasuk desakan supaya saya mencampuri urusan mahkamah untuk membebaskan beberapa individu yang sedang didakwa atas kesalahan jenayah.

 

“Saya juga telah dituduh menderhaka kepada Raja sedangkan apa yang saya lakukan adalah semata-mata untuk memelihara keluhuran Perlembagaan dan mempertahankan kemuliaan institusi Raja Berperlembagaan.

 

“Saya tidak akan mengorbankan prinsip saya dan membelakangi sumpah jawatan saya untuk menunaikan segala kewajipan dengan jujur, menumpahkan taat setia kepada Raja dan Negara serta memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan,” kata Muhyiddin.

 

Menurut Muhyiddin, semalam beliau telah menerima warkah daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang memaklumkan terdapat lapan orang Ahli Parlimen UMNO telah menulis surat kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat bahawa mereka telah menarik sokongan kepada saya.

 

Di dalam warkah ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah memetik dua peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

 

Pertama, Perkara 43 (2) (a) iaitu:

“Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik sebagai Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu”; dan

Kedua, Perkara 43 (4) iaitu:

“Jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong”.

 

Sehubungan itu, Perdana Menteri telah dititah menghadap oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada jam 11 pagi hari ini.

 

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, Jemaah Menteri dan jentera pentadbiran kerajaan akan terus berfungsi untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawab kepada rakyat dan negara, khususnya dalam menangani pandemik COVID-19.

 

“Saya akan memastikan program vaksinasi yang sedang berjalan pada masa ini tidak akan terganggu dan terus dilaksanakan mengikut jadual. Begitu juga bantuan-bantuan yang telah diumumkan oleh kerajaan akan dapat diterima oleh rakyat tanpa sebarang halangan,” katanya.

 

Muhyiddin memohon maaf kepada rakyat kerana dalam keadaan negara sedang berhadapan dengan cabaran besar menangani pandemik Covid-19, beliau terpaksa tampil menjelaskan kedudukan Kerajaan Perikatan Nasional dan keabsahannya sebagai Perdana Menteri. – DagangNews.com