Muhyiddin nafi dakwaan pemberian kontrak NIISe kepada menantu | DagangNews Skip to main content

Muhyiddin nafi dakwaan pemberian kontrak NIISe kepada menantu

Tan Sri Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR 10 Feb - Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan dakwaan terlibat dalam pemberian kontrak Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) kepada syarikat IRIS Corporation Berhad.

 

Muhyiddin menerusi hantaran di Facebooknya semalam berkata, beliau menyifatkan tuduhan ini sebagai fitnah jahat yang direka untuk mencalar maruahnya dan keluarga.

 

Beliau merujuk kepada laporan portal Free Malaysia Today bertarikh 8 Februari 2023 yang mendakwa kononnya beliau terlibat dalam pemberian kontrak Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) kepada syarikat IRIS Corporation Berhad yang dikaitkan dengan menantunya.

 

"Saya sebagai Perdana Menteri pada masa itu sama sekali tidak terlibat dalam proses penganugerahan kontrak NIISe kepada IRIS Corporation Berhad yang dijalankan secara tender terbuka. 

 

"Proses perolehan kontrak dibuat mengikut tatacara perolehan biasa kerajaan di bawah seliaan Kementerian Kewangan dan kementerian yang berkaitan. Ia bukan berada di bawah tanggungjawab atau bidang kuasa saya sebagai Perdana Menteri pada waktu itu," katanya.

 

Selain itu katanya. tiada mana-mana ahli keluarga saya mempunyai kepentingan dalam IRIS Corporation Berhad samada sebagai pengarah syarikat atau pemegang saham.

 

"Bagaimana saya yang tidak mempunyai bidang kuasa dalam penganugerahan kontrak dan keluarga saya yang tidak ada sebarang kepentingan dalam syarikat yang dianugerahkan kontrak, ditohmah menyalahgunakan kuasa demi kepentingan diri dan keluarga?," katanya.

 

Beliau mendakwa ia adalah sebahagian daripada siri tohmahan jahat terhadapnya yang dilakukan oleh kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional pimpinan Anwar Ibrahim. 

 

Katanya, tohmahan ini sengaja dibuat untuk menutup kepincangan melampau Perdana Menteri dan anggota kerajaannya melantik anak beranak dalam kerajaan termasuk dengan tanggungjawab dan kuasa untuk mengurus kontrak kerajaan. 

 

Tambahnya, amalan nepotisme ini tidak boleh ditutup dengan melemparkan tohmahan tidak berasas kepada orang lain. - DagangNews.com