Muhyiddin sedia berdepan sebarang kemungkinan di Parlimen | DagangNews Skip to main content

Muhyiddin sedia berdepan sebarang kemungkinan di Parlimen

PAGOH 6 Ogos - Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan kesediaannya berdepan sebarang kemungkinan pada sidang Parlimen bulan depan.

 

Perdana Menteri turut melahirkan keyakinan masih memiliki sokongan majoriti ahli Parlimen.

 

Beliau juga tidak gentar untuk berdepan usul undi percaya kepada Perdana Menteri seperti dilakukan sebelum ini.

 

"Penentuan membuktikan keabsahan kedudukan saya dibuat bulan depan kerana ia dipersetujui dan diperkenan Yang di-Pertuan Agong dalam sesi menghadap baru-baru ini.

 

"Saya yakin sehingga hari ini, walaupun ada pengumuman dibuat pihak tertentu yang kononnya tidak menyokong saya, mungkin depan macam itu tapi di belakang mungkin tak tahu.

 

"Ini masalah politik (yang) ramai pihak keliru. Jadi nak selesaikan perkara itu kita bawa ke Parlimen, saya mesti hadapi apa pun kemungkinan.

 

"Saya tak takut dan bimbang tapi saya yakin (memiliki majoriti)," katanya pada sidang media selepas majis penyampaian Sumbangan Makanan Basah kepada Penghulu Parlimen Pagoh di sini hari ini, lapor Berita Harian.

 

Hadir sama, isteri Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong, Datuk Dr Sahruddin Jamal.

 

Muhyiddin mengulas kenyataan segelintir pihak mempertikai kedudukannya sebagai Perdana Menteri yang mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen.

 

Ia berikutan beberapa Ahli Parlimen UMNO menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN).

 

Rabu lalu, Muhyiddin menegaskan keabsahan beliau sebagai Perdana Menteri dan kedudukan kerajaan PN akan ditentukan menerusi usul undi percaya yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat, September ini.

 

Perdana Menteri dilaporkan sudah menyembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong dan akan menentukan keabsahannya sebagai Perdana Menteri di Parlimen.

 

Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU, mengingatkan bahawa sebarang perubahan boleh menjejaskan usaha kerajaan memerangi pandemik COVID-19 yang masih menular.

 

"Apakah negara boleh menghadapi masalah sebegini dengan apa-apa rombakan atau pertukaran dan suasana politik yang mungkin kalut.

 

"Saya tidak kata saya ramal begitu, tetapi ia mungkin boleh menjejaskan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan pelbagai langkah yang sedang diambil seperti proses vaksinasi dan sebagainya," katanya.

 

Sehubungan itu, Muhyiddin menyerahkan kebijaksanaan dan budi bicara kepada ahli Parlimen untuk membuat pertimbangan sewajarnya pada Sidang Parlimen bulan depan. - DagangNews.com