Murray Hiebert
KUALA LUMPUR 10 Feb. - Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) yang telah tergendala sejak beberapa tahun lalu mungkin tidak akan menyaksikan penyertaan Amerika Syarikat (AS) dalam masa terdekat ini.
Ini susulan negara berkenaan tidak mempertimbangkan untuk menyertai perjanjian perdagangan itu semula buat masa ini.
Malah, pentadbiran Presiden Joe Biden telah menegaskan bahawa keutamaannya adalah untuk menumpukan usaha mengekang penularan COVID-19 selain memulihkan ekonomi negara.
Itu yang dikongsikan Sekutu Kanan Program Asia Tenggara Pusat Strategik dan Kajian Antarabangsa berpejabat di Washington, Murray Hiebert.
“(Setakat ini) kurang daripada 10% rakyat AS telah mendapat vaksin itu dan ini masih jauh sebelum kita dapat memastikan bahawa pandemik ini benar-benar dapat dikawal.
“Selain itu, bukannya ekonomi tidak berkembang tetapi terdapat sektor-sektor yang terjejas teruk akibat pengangguran dan adalah penting untuk memastikan mereka yang terbabit dapat kembali bekerja.
“Malah, Biden juga menegaskan jika AS mahu menyertai semula (perjanjian itu), Washington perlu menekankan mengenai keperluan untuk meminda beberapa peraturan terutamanya berkaitan persekitaran tenaga kerja yang sebaliknya mungkin tidak dipersetujui oleh anggota CPTPP sedia ada,” katanya menurut laporan Bernama.
Beliau berkata demikian pada sesi webinar bertajuk ‘The Biden Administration's Global Engagement Strategy’ (Strategi Penglibatan Global Pentadbiran Biden) secara maya hari ini.
Pada awalnya, CPTPP bertindak sebagai teras strategik oleh bekas Presiden AS, Barack Obama di Asia.
CPTPP merupakan perjanjian yang dijenamakan semula untuk Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).
Perubahan nama itu berlaku setelah AS membuat keputusan untuk menarik diri sebelum sempat menandatanganinya pada 23 Januari 2017 apabila Donald Trump mengambil alih jawatan Presiden di negara itu.
Baca : China secara aktif pertimbang CPTPP
Seterusnya, Malaysia bersama-sama 10 negara yang lain iaitu Australia, Brunei, Chile, Jepun, Kanada, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam telah menandatangani CPTPP pada 8 Mac 2018.
CPTPP difahamkan sebagai sebuah perjanjian perdagangan yang dapat merendahkan atau membuang halangan perdagangan antara ekonomi-ekonomi yang telah menandatangani perjanjian itu.
Ratifikasi perjanjian itu dikatakan dapat mewujudkan sebuah peluang buat Malaysia untuk menambahbaik kedudukan persaingannya dan penting untuk mencapai pertumbuhan mampan, kata Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS) dalam laporannya baru-baru ini.
Apatah lagi ekonomi negara terjejas akibat pandemik COVID-19, CPTPP menjadi sebuah pilihan untuk merangsang pertumbuhan Malaysia tanpa perkembangan fiskal.
Baca : Kerajaan runding pihak berkepentingan sebelum memutuskan ratifikasi CPTPP
Walaupun Malaysia telah menandatangani CPTPP, namun kerajaan belum membuat keputusan akhir sekiranya memilih untuk meratifikasi dan melaksanakan perjanjian itu. - DagangNews.com