KUALA LUMPUR 8 Nov – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengumumkan pelantikan Pengerusi Bukan Eksekutif baharunya, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkuat kuasa hari ini, menggantikan Datuk (Dr.) Rameli Musa yang telah tamat perkhidmatannya pada 1 Februari 2021.
Lembaga Pengarah dan Barisan Kepimpinan KTMB mengalu-alukan pelantikan Musa tersebut dan dengan pengalaman luas yang dimiliki oleh beliau di dalam sektor korporat merupakan satu kelebihan besar buat KTMB dalam meneruskan agenda transformasi syarikat untuk meningkatkan lagi mutu perkhidmatan pengangkutan rel, khususnya dalam fasa pemulihan selepas cabaran penularan pandemik Covid-19.
''Pada masa ini, Musa adalah Pengerusi Eksekutif Kumpulan Syarikat Aseania. Beliau memainkan peranan penting menerajui pertumbuhan dan pengembangan perniagaan Kumpulan Syarikat Aseania di dalam industri perhotelan dan hartanah.
''Beliau juga merupakan Pengerusi Bukan Eksekutif JKP Sdn. Bhd. iaitu sebuah agensi pelaksana kepada Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang,'' kata KTMB dalam kenyataan di sini.
Musa juga pernah menjawat pelbagai jawatan di dalam barisan kepimpinan tertinggi Agensi Kerajaan seperti Ahli Lembaga Pengarah di Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Ahli Majlis, Majlis Amanah Rakyat (MARA).
Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, Mohd Rani Hisham Samsudin berkata, KTMB mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada mantan Pengerusi, Datuk (Dr.) Rameli Musa atas sumbangannya yang sungguh bermakna dalam memajukan KTMB.
''Kami amat berbesar hati mengalu-alukan Datuk Musa sebagai Pengerusi baharu Lembaga Pengarah. Dengan pengetahuan dan pengalamannya yang luas, pelantikan ini tepat pada masanya untuk menerajui transformasi KTMB khususnya agenda digitalisasi dan automasi perkhidmatan pengangkutan rel seiring dengan Revolusi Perindustrian 4.0.
''Kami berharap kepimpinan beliau akan membawa KTMB ke tahap yang lebih tinggi sebagai pengendali perkhidmatan pengangkutan rel yang unggul di rantau ini,” kata beliau. – DagangNews.com