Musim sejuk AS dijangka menguntungkan Petronas Chemicals pada 1H21 | DagangNews Skip to main content

Musim sejuk AS dijangka menguntungkan Petronas Chemicals pada 1H21

Petronas Chemicals Group (PCG)

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 24 Feb. - Fenomena musim sejuk yang melanda Amerika Syarikat (AS) dijangka memberi keuntungan kepada jualan petrokimia syarikat Petronas Chemicals Group (PCG) bagi tempoh separuh pertama 2021 (1H21).

 

CGS-CIMB Research berkata, fenomena tersebut mengakibatkan lebih banyak kilang yang terpaksa ditutup.

 

Fenomena musim sejuk yang melanda secara tiba-tiba di Pantai Teluk AS pada 21 Februari lepas menyebabkan 72.5% penutupan kilang pengeluaran etilena AS, HDPE AS 92%, LLDPE 86%, LDPE 81%, PP 87% dan beberapa kilang MEG.

 

"Penutupan itu berlaku kerana kilang tersebut kehilangan sumber tenaga serta berlaku masalah pembekuan sistem paip.

 

"Penutupan kilang juga turut mempengaruhi pengeluaran aromatik. Akibatnya, harga niaga hadapan China bagi LLDPE dan PP meningkat 17% secara komulatif selama tiga hari iaitu 18 hingga 22 Februari, sementara harga PE AS meningkat 10% minggu lalu.

 

"Kesan penutupan kilang tersebut boleh berlaku selama separuh kedua 2021. Bekalan Asia mungkin menuju ke AS yang dapat membantu mengetatkan inventori di Asia sekali gus berlakunya peningkatan harga," jelas CGS-CIMB Research.

 

Keuntungan bersih PCG pada suku keempat 2020 berjumlah RM689 juta yang diumumkan semalam didorong oleh harga jualan yang lebih tinggi dan peningkatan permintaan.

 

Dalam pada itu, CGS-CIMB Research turut meningkatkan andaian harga purata petrokimia pada tahun kewangan 2021.

 

Segmen Olefins and Derivatives (O&D) ditingkatkan 15% berbanding 12% pada tahun sebelumnya.

 

Fertilisers and Methanol (F&M) ditingkatkan 20% berbanding 15% pada tahun lalu.

 

Sementara itu, MIDF Research memberitahu, pihaknya tetap optimis terhadap pendapatan PCG bagi tahun kewangan 2021 meskipun masih dalam tempoh pandemik COVID-19.

 

"Ini kerana kenaikan harga minyak mentah baru-baru ini diharap mampu meningkatkan purata harga (ASP) produk petrokimia serta perkembangan imunisasi global yang akan mengurangkan sekatan pergerakan sekali gus mengambalikan semula permintaan pasaran," jelas MIDF Research.

 

Dalam pada itu, kelebihan bahan bakar mentah PCG berbanding syarikat induk dan pesaing lain turut menjadi pemacu kepada pendapatan FY21. - DagangNews.com