KUALA LUMPUR 7 April – Pengurusan soal kewangan selepas kematian bukanlah mudah, namun melalui perkhidmatan My Waris Pelan Pentadbiran Harta Pusaka (EAP) yang dilancarkan oleh My Legacy Will Services Sdn Bhd dengan kerjasama Perpetual Trustees Berhad, bertekad untuk memudahkan proses rumit berkenaan.
My Waris EAP menawarkan perkhidmatan menyeluruh daripada penulisan wasiat sehinggalah pelaksanaan dan pengagihan akhir kekayaan dan harta pusaka pelanggan menggunakan pelan dan kaedah baru.
Ia berdasarkan model keahlian dan langganan, dengan Perpetual Trustees Berhad dilantik sebagai Pelaksana Wasiat dan Pemegang Amanah.
Ketua Pegawai Eksekutif My Legacy Will Services, Andric Lin berkata, walaupun menulis wasiat merupakan langkah pertama yang penting, namun ramai yang tidak tahu terdapat pelbagai cabaran lain dalam melaksanakan wasiat berkenaan selepas kematian seseorang.
Di sinilah My Waris EAP kata beliau, memainkan peranan dalam melaksanakan kerja-kerja pentadbiran wasiat dan pewarisan yang sebenarnya melibatkan kos tambahan yang seringkali merumitkan proses tersebut.
Menurutnya, apabila seseorang itu mendaftar sebagai ahli My Waris EAP, langkah pertama dari pihaknya adalah untuk membantu mereka menulis wasiat terlebih dahulu.
‘’Perpetual Trustees akan menjadi penjaga wasiat. Apabila individu berkenaan meninggal dunia, Perpetual Trustees akan menjalankan semua kerja pentadbiran, bermula daripada pengendalian prosiding mahkamah sehingga pelaksanaan dan pengagihan harta pusaka kepada waris mengikut wasiat yang ditinggalkan.
“Ramai yang tidak menyedari betapa besarnya kos yang perlu ditanggung semasa pelaksanaan wasiat. Ini termasuk yuran guaman, duti setem, yuran mahkamah, kos geran probet yang secara purata boleh mencecah 3 hingga 4% daripada jumlah nilai aset. Wang ini perlu dijelaskan sebelum aset boleh dipindahkan.
“Selain itu, terdapat pelbagai langkah pentadbiran, birokrasi dan undang-undang yang perlu dipatuhi, yang mungkin memberi tekanan dan memakan masa untuk keluarga yang bersedih,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menerusi perkhidmatan My Legacy yang diperkenalkan, ia akan melaksanakan tanggungjawabnya kepada waris menggunakan pelan dan kaedah seperti berikut:
i. Pelanggan membayar yuran penyertaan sebanyak RM3,600 hingga RM7,200 mengikut nilai aset atau dengan RM500 rebat sekiranya sudah mempunyai wasiat.
ii. Mulai tahun kedua sehingga berusia 70 tahun, pelanggan membayar yuran langganan tahunan sebanyak RM860 hingga RM3,400.
iii. Selepas kematian, Perpetual Trustees akan mengendalikan seluruh proses pelaksanaan wasiat sehingga pengagihan semua aset dan wang kepada senarai waris yang sah.
iv. “Sekiranya pelanggan meninggal dunia sebelum usia 70 tahun, kami akan menyerap semua perbelanjaan pelaksanaan untuk aset bernilai RM3 juta (dihadkan kepada tiga harta tak alih) sehingga RM12 juta (dihadkan kepada 12 harta tak alih), tertakluk kepada terma dan syarat. Ini bermakna waris akan memperoleh nilai harta pusaka anda tanpa membayar sebarang kos pentadbiran,” kata Lin sambil menambah, yuran penyertaan dan langganan yang telah dibayar akan dipulangkan kepada waris sehingga had pelan.
Bagaimanapun, sekiranya kematian tersebut selepas usia 70 tahun, perbelanjaan pelaksanaan akan ditolak daripada yuran penyertaan dan langganan yang telah dibayar.
“Selain itu, kami juga akan menetapkan kos pelaksanaan berdasarkan kadar semasa. Dengan peningkatan yuran pentadbiran dan guaman, ia menawarkan penjimatan hebat kepada keluarga peninggalannya,” tambah Lin.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perpetual Trustees, Sheela Vasuthevan berharap My Waris EAP akan mewujudkan lebih kesedaran mengenai keperluan bukan sahaja untuk memiliki wasiat tetapi wasiat yang dibiayai.
“Kami menganggarkan 90% rakyat Malaysia yang layak belum membuat perancangan harta pusaka yang betul disebabkan kejahilan atau penangguhan,” katanya, mengambil kira sejumlah RM80.75 bilion Wang Tak Dituntut pada akhir 2019, berdasarkan laporan Jabatan Akauntan Negara Malaysia.
“My Waris EAP menyediakan perkhidmatan sehenti mudah diakses yang boleh memenuhi semua keperluan ini dan saya berharap mesej dan perkhidmatan boleh disampaikan kepada lebih ramai pihak,” tambah Sheela.
My Waris EAP mempunyai tiga pelan fleksibel berdasarkan jumlah aset yang dimiliki. Pelanggan diberi jaminan wang yang tidak digunakan akan dikembalikan tertakluk kepada had maksimum pelan yang dilanggan.
“Melantik pihak yang tepat untuk mentadbir harta pusaka adalah pertimbangan yang amat penting, begitu juga dengan perbelanjaan yang ditanggung. Malangnya, kedua-dua perkara ini sering diabaikan dalam perancangan harta pusaka.” tambah Sheela.
Menerusi kerjasama My Legacy dengan pasukan peguam yang mahir dan berpengalaman dalam perkara berkaitan, pelanggan diberi keyakinan bahawa segala urusan akan dikendalikan dengan cepat dan profesional.
“Inilah perkhidmatan pentadbiran harta pusaka yang begitu lengkap disediakan buat pertama kali di Malaysia. Kami amat gembira menawarkan perkhidmatan ini di pasaran kerana ia akan memudahkan pemindahan aset kepada waris,” kata Lin. – DagangNews.com