MyCC kaji impak ekonomi digital terhadap kos sara hidup | DagangNews Skip to main content

MyCC kaji impak ekonomi digital terhadap kos sara hidup

KUALA LUMPUR 16 Ogos - Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) melaksanakan satu kajian pasaran menyeluruh bagi menilai impak ekonomi digital terhadap kos sara hidup.

 

Menurut MyCC, kajian tersebut bertujuan untuk meneroka pelbagai aspek dalam landskap digital, termasuk struktur pasaran, gelagat perusahaan, serta tingkah laku pembekal dan pengguna.

 

Kajian itu akan memberi tumpuan khusus kepada sistem pengendalian mudah alih, menekankan kepada penyepaduan sistem pembayaran Antara Muka Pengaturcaraan Aplikasi (API) bagi memudahkan pembelian dalam aplikasi.

 

Selain itu, kajian itu akan melihat pengiklanan digital dalam talian, seperti pemasaran enjin carian (SEM), iklan media sosial, pengiklanan paparan, dan promosi video.

 

Menurut satu kenyataan, MyCC berkata kebimbangan privasi dan perlindungan data akan menjadi fokus utama kajian itu. 

 

"Terutamanya mengenai isu kos penukaran, penyalahgunaan data, dan kawalan data oleh pemain utama dalam setiap subsektor," ujarnya.

 

Untuk memastikan semakan yang menyeluruh dan inklusif, MyCC akan mengadakan beberapa siri perbincangan kumpulan fokus.

 

Sesi perbincangan itu akan melibatkan, agensi pelancongan dalam talian (20 Ogos), e-dagang (21 Ogos), perkhidmatan pengiklanan dalam talian (27 Ogos), sistem pengendalian dan pembayaran mudah alih (29 Ogos). 


Kata MyCC, setiap sesi itu juga akan meneliti isu-isu privasi dan perlindungan data.

 

Sementara itu, MyCC menjalankan semakan itu di bawah Seksyen 11 Akta Persaingan 2010 (Akta 712), yang memberikan kuasa untuk menilai sama ada ciri pasaran tertentu menghalang, menyekat, atau memesongkan persaingan.

 

Pada masa yang sama, Menteri Digital Gobind Singh Deo mengumumkan ekonomi digital Malaysia dijangka menyumbang  sebanyak 25.5% kepada Keluaran dalam negeri kasar (KDNK) negara menjelang akhir 2025.- DagangNews.com