KUALA LUMPUR 20 Jan - Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) akan terus memantau PLUS Malaysia Bhd. dan Touch 'n Go Sdn. Bhd. (TNG) berhubung pelaksanaan sistem teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) di sepanjang lebuh raya PLUS bagi memastikan mereka tidak melanggar undang-undang persaingan.
Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, Iskandar Ismail berkata, dengan mengambil kira tanggungjawab khas yang ada pada kedua-dua perusahaan dominan ini dalam pasaran-pasaran relevan, MyCC akan terus memantau keadaan dari semasa ke semasa dan apabila sebarang isu persaingan telah dikenal pasti, Akta Persaingan 2010 akan dikuatkuasakan.
"Seterusnya, adalah penting untuk diingatkan bahawa pasaran berkaitan inovasi boleh mewujudkan ketidakpastian.
"Oleh itu, MyCC akan bekerjasama rapat dengan kerajaan untuk memastikan perubahan ini sentiasa memberi manfaat terbaik kepada semua pengguna,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ini berikutan pada 17 Januari lalu, MyCC mengadakan perjumpaan dengan PLUS dan TNG berhubung pelaksanaan RFID di sepanjang lebuh raya PLUS.
Perbincangan itu merupakan satu inisiatif yang diambil oleh MyCC untuk mendapatkan pemahaman yang lebih lanjut berkenaan perlaksanaan tersebut serta perkembangan terkini berhubung pelaksanaan RFID.
Walaupun inovasi seperti pengenalan RFID dalam sistem kutipan tol ini dialu-alukan, suruhanjaya itu
percaya bahawa pelaksanaan sistem itu perlu dilaksanakan dengan lebih berkesan bagi mencapai objektifnya.
Malah, MyCC mengambil maklum tentang rancangan untuk memastikan peralihan lancar kepada RFID untuk pengguna lebuh raya dan kerjasama antara PLUS dan TNG dalam sistem kutipan tol.
Memandangkan terdapatnya peningkatan aduan pengguna mengenai isu berkaitan pelaksanaan RFID di seluruh Lebuhraya PLUS, MyCC turut berkongsi penilaian dan kebimbangannya dalam mesyuarat yang sama mengenai
pelaksanaan tersebut termasuk memberikan akses kepada platform pembayaran lain untuk pembayaran tol bukan sahaja melalui kad debit atau kad kredit tetapi juga sistem e-dompet yang lain.
Pada masa sama, MyCC juga akan menumpukan usahanya dengan memantau secara konsisten perkembangan pelaksanaan tersebut selaras dengan peranannya dalam memperjuangkan dan mempromosikan persaingan bagi kepentingan semua rakyat Malaysia.
Pelaksanaan RFID yang dimulakan secara berperingkat di lebuh raya PLUS pada 15 Januari lalu, mengundang kemarahan pengguna lebuh raya terbabit apabila mereka terpaksa berdepan kesesakan teruk di Tol Sungai Besi dan Plaza Tol Bandar Seri Putra kerana kegagalan sistem berkenaan. - DagangNews.com